Ini 5 ahli ‘kartel dedak’, kata menantu Hadi


Zaharudin Muhammad menantu Hadi Awang mendakwa wujud kartel dedak dalam PAS yang memburukkan nama parti dan pemimpin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2019.

ZAHARUDIN Muhammad hari ini mendedahkan lima nama yang didakwa “kartel dedak”, selepas PAS semalam berkata mereka akan meminta penjelasan menantu Hadi Awang itu.

Beliau mendedahkan nama gelaran lima individu yang didakwanya korup, mereka ialah “Dr Hussam II (kepala no 1)”, “Mr NT”, “Mr KT”, “Mr KH” dan “Semua dah tahu” di Facebook hari ini.

Katanya lagi, orang terakhir dalam senarai itu adalah kawan baiknya tetapi terpengaruh dengan kawan-kawan lain sehingga menjadi pembela kartel dedak itu.

“Yang dia tahu tak banyak pun.

“Ramai-ramai ni nombor satu saya fokus. Sebab yang dia buat Mr 2 sampai Mr 5 tak tahu pun. Dia maha licik mengalahkan Hussam(Husam Musa yang kini pemimpin Amanah). Sapu kiri kanan.

“Dengan Azmin pun rapat. Pernah cuba mendedak dengan Azmin tapi tak tahu dapat ke tidak,” kata Zaharudin.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti akan meminta Zaharudin menjelaskan dakwaan kewujudan “kartel dedak” itu.

“Kita akan panggil untuk dapatkan penjelasan. Kalau betul dia buat kenyataan itu, kita akan dapatkan penjelasan lanjut, apa maklumat dia ada dan apa tujuan dia.

“Sekarang ini saya tak boleh (komen atau mengambil sebarang tindakan) berdasarkan status Facebook dan sebagainya. Prosedurnya akan panggil dia,” katanya.

Beliau mengulas catatan Zaharudin di Facebook tentang rakaman audio melibatkan Ahli Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengenai wang Umno diberikan kepada PAS dan mengecam kumpulan yang dilabelnya sebagai “kartel dedak”.

Zaharudin adalah individu dituduh bertanggungjawab membocorkan rakaman audio Nik Abduh itu.

Hari ini, Zaharudin juga berkata misinya sekarang adalah mendedahkan kartle tersebut demi menyelamatkan parti dan kepimpinan daripada terus difitnah.

Tambahnya, kenyataannya tidak ada kaitan dengan dakwaan RM90 juta diberi Umno kepada PAS.

“Insya-Allah kes-kes ini dalam skala yang tidak salah undang-undang, tetapi salah daripada segi moral, agama dan integriti parti,” katanya. – 12 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen