Pemimpin PAS yang mendakwa wujud kumpulan penerima wang Umno dalam parti akan dipanggil untuk memberi penjelasan, kata Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan.
Katanya, PAS akan memanggil bekas ahli majlis syura ulamanya Zaharudin Muhammad bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan “kartel dedak” itu.
Takiyuddin berkata, PAS tidak boleh mengambil tindakan atas dakwaan berkenaan dengan hanya berdasarkan tulisan di media sosial sahaja.
“Kita akan panggil untuk dapatkan penjelasan. Kalau betul dia buat kenyataan itu, kita akan dapatkan penjelasan lanjut, apa maklumat dia ada dan apa tujuan dia.
“Sekarang ini saya tak boleh (komen atau mengambil sebarang tindakan) berdasarkan status Facebook dan sebagainya. Prosedurnya akan panggil dia,” katanya.
Takiyuddin yang ditemui pemberita di majlis ulang tahun Umno ke-73 di PWTC malam tadi turut ditanya sekiranya isu berkenaan turut disuarakan kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Katanya, perkara itu hanya ditangani oleh pentadbiran PAS sahaja.
“Kartel dedak” yang disebut Zaharuddin dalam satu tulisan di Facebook itu merujuk kepada kumpulan penerima dana daripada Umno dan individu yang dikaitkan dengan parti tersebut.
Dalam siri tulisan yang disiarkan pada 9 Mei itu, Zaharuddin berkata ia bagi menjelaskan latar sebenar di sebalik isu rakaman audio kontroversi mengenai dana Umno kepada PAS.
Jelasnya, para pemimpin parti tidak bersetuju dengan tindakan PAS menerima wang daripada Umno dan beliau juga menafikan bertanggungjawab merakam ucapan tersebut.
Dalam tulisannya di Facebook, Zaharuddin berkata dakwaan bahawa PAS menerima wang Umno itu ditimbulkan untuk menunjukkan perbuatan itu dilakukan oleh pemimpin tertinggi parti.
Namun, perkara itu sebenarnya tidak direstui pemimpin tertinggi, kata menantu Abdul Hadi Awang itu lagi.
“[...] rakaman itu dimainkan untuk membuktikan bahawa perbuatan mendedak itu adalah perbuatan kepimpinan tertinggi parti (Padahal sebenarnya tidak dan saya akan coretkan nanti bukti-bukti tindakan mendedak ini tidak direstui oleh kepimpinan tertinggi),” tulisnya.
Zaharudin juga berkata coretan terbabit adalah untuk menghindarkan “fitnah”
Ucapan dalam rakaman tersebut dikenalpasti sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Nik Abduh Nik Aziz, yang menafikannya sejak rakaman itu tersebar sebelum PRU14.
Nik Abduh pada Februari lalu akhirnya mengakui beliau merupakan individu yang berucap dalam rakaman berkenaan, dan seterusnya disiasat agensi anti rasuah bersama barisan pemimpin PAS lain. – 12 Mei, 2019.
Komen