Yuran guaman bukan dari dana untuk anak yatim, kata Yapeim


Diyana Ibrahim

Yapeim tangkis dakwaan berlaku penyelewengan dana amanah dalam membayar yuran guaman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Mei, 2019.

YURAN guaman pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) bukan dari dana amanah untuk anak yatim tetapi daripada hasil pelaburan, kata pegawai yayasan itu.

Ketua Bahagian Perundangan Yapeim Adawiyah Abdul Samad berkata demikian untuk menangkis dakwaan berlaku penyelewengan dana dalam membayar yuran guaman bagi kes saman dihadapi pengarah tersebut.

“Tak benar bayaran guaman Yapeim gunakan daripada dana anak yatim. Semuanya daripada akaun am Yapeim yang hasilnya daripada pelaburan,” kata Adawiyah.

Beliau mengulas laporan khas The Malaysian Insight berhubung dana RM1 juta yang didakwa digunakan untuk membayar yuran guaman bagi kes saman antara NGO Pemangkin dan Yapeim.

The Malaysian Insight melaporkan, wang tersebut sepatutnya disalurkan untuk kegunaan anak yatim.

Adawiyah bagaimanapun berkata, dakwaan bahawa bayaran itu mencecah RM1 juta adalah fitnah kerana ia tidak mencecah RM500,000 sekalipun.

“Oleh itu jumlah tersebut adalah tidak benar dan fitnah,” katanya lagi dalam satu sidang media khas di Kuala Lumpur.

Ketika ditanya, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar untuk yuran guaman tersebut. 

“Kerana ia maklumat sulit kena dapatkan kebenaran daripada ketua pengarah dulu, Abibullah Samsudin,” katanya.

Bayaran berkenaan dilaporkan dibuat dalam jumlah kecil, tidak lebih daripada RM50,000 untuk setiap transaksi untuk mengelak daripada kelulusan lembaga pengarah.

Namun menurut Adawiyah, pembayaran guaman itu mendapat kelulusan lembaga pengarah dan dibuat berperingkat-peringkat mengikut tuntutan peguam.

“Kesemua bayaran guaman secara berperingkat bergantung kepada proses saman setakat mana dibicarakan, dan mereka (firma guaman) akan tuntut pada kita,” katanya.

Jelasnya, Yapeim bertindak lebih awal untuk menjalankan tindakan undang-undang ke atas Pemangkin untuk menyekat dana disalurkan kepada NGO itu.

Menurut Adawiyah, Yapeim memfailkan saman ke atas Pemangkin pada akhir 2016 bagi membekukan dana sebanyak RM2.2 juta.

Seterusnya, barulah Pemangkin memfailkan saman pada 2017 atas dakwaan berlaku salah laku dalam dalam Yapeim dan terdapat usaha menutup Pemangkin untuk menyembunyikan skandal itu.

Salah seorang pengarah Yapeim disaman Pemangkin merupakan seorang pembantu Najib Razak yang menjadi perdana menteri pada waktu itu.

Yuran guaman itu bagi membatalkan saman Pemangkin yang antara lain mendakwa Yapeim menggunakan dana yayasan tersebut untuk menaja program menteri agama waktu itu, Jamil Khir Baharom ke Eropah, Amerika Syarikat dan program yayasan di Ausralia.

Bagaimanapun pada 7 Februari 2018 Mahkamah Tinggi membatalkan saman Pemangkin atas alasan ia bersifat remeh dan menyusahkan.

Menurut Adawiyah, pengurusan baharu Lembaga Pengarah Amanah juga meminta saman Yapeim ke atas Pemangkin pada  2016 diselesaikan di luar mahkamah. – 12 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen