Jamil Khir berjaya batalkan saman salah laku 


Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (Pemangkin) memfailkan saman kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom berhubung dakwaan salah laku dan usaha tutup Pemangkin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2018.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom hari ini berjaya membatalkan saman yang difailkan oleh Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (Pemangkin) berhubung dakwaan salah laku dan usaha menutup Pemangkin.

Peguam Adnan Seman yang mewakili Jamil Khir berkata Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Faizah Jamaludin membuat keputusan itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Suhaimi Kamaruddin yang mewakili  tiga plaintif iaitu dua pengasas Pemangkin Mohd Yusoff A.Bakar, 65, dan Ahmad Fazil Hashim, 61, serta Pemangkin.

Adnan berkata mahkamah membenarkan permohonan Jamil Khir untuk membatalkan saman itu selepas mendapati writ saman dan pernyataan tuntutan tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah, mengaibkan, remeh serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM2,000 kepada defendan pertama itu (Jamil Khir), katanya kepada media hari ini. 

Selain Jamil Khir, plaintif dalam samannya turut menamakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pemangkin, iaitu   Shahlan Ismail, 59; Mohd Yusof Abd Rahman, 62 dan Mokhtar Abdul Razak, 59; Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Abibullah Samsudin, 58; Pengarah Undang-Undang Yapiem Sharina Ramli, bekas setiausaha syarikat itu Normala Embi, 54; dan Yapeim sebagai defendan kedua hingga kelapan.

Mahkamah sama juga membatalkan saman Pemangkin terhadap tujuh defendan itu pada 10 November 2017.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif memohon satu perintah deklarasi bahawa Pemangkin adalah sebuah entiti yang berdiri sendiri dan bukan anak syarikat kepada mana-mana syarikat atau yayasan atau pertubuhan lain termasuk Yapeim.

Mereka juga menuntut satu perintah deklarasi bahawa arahan dan tindakan Jamil Khir dan tujuh defendan lain untuk mendomankan Pemangkin adalah tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang, serta perintah deklarasi bahawa pelantikan defendan kelima selaku ketua pegawai eksekutif kepada plaintif ketiga sebagai tidak sah dan terbatal. – Bernama, 7 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen