Matrikulasi sudah tidak relevan tapi hendak tutup bukan mudah, kata Daim


Noor Azam Shairi

Daim Zainuddin berkata program matrikulasi asalnya diperkenalkan untuk mengimbangi agihan kaum di universiti yang kini sudah ditangani, dan kerana itu ia wajar ditutup sekarang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Mei, 2019.

PROGRAM matrikulasi sudah tidak lagi relevan sekarang tetapi memansuhkannya bukanlah senang bagi kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH), kata Daim Zainuddin.

Matrikulasi asalnya diperkenalkan untuk mengimbangi agihan kaum di universiti yang kini sudah ditangani, dan kerana itu ia wajar ditutup sekarang, jelas Daim.

Namun bagi sebuah kerajaan yang dicurigai sikapnya terhadap kepentingan Melayu, menutup matrikulasi akan memburukkan lagi sokongan Melayu kepada kerajaan, katanya.

“Kementerian Pendidikan selama ini condong ke arah agenda bumiputera dan kita boleh lihat sekarang. Tempat untuk matrikulasi ditambah jadi 40,000. Ini (matrikulasi) jalan singkat,” kata Daim dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, baru-baru ini.

“Waktu ia dimulakan dulu ada alasan baik untuk betulkan ketidakseimbangan (kaum). Sekarang sudah tidak relevan, boleh dihapuskan.

“Tetapi kalau (kerajaan) hapuskan sekarang pembangkang akan terus jadikan isu,” tambahnya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri dalam analisisnya tentang PH setahun selepas jadi kerajaan memberikan contoh isu kemasukan ke matrikulasi untuk menggambarkan bagaimana parti itu kini buntu menangani tuntutan orang Melayu dan bukan Melayu.

“Idea untuk meningkatkan penyertaan pelajar Melayu di universiti melalui matrikulasi dibatalkan kerana sekarang, Cina dan India juga masuk ikut pintu belakang. Tetapi mereka masih tidak berpuas hati kerana mereka kata, kerajaan hanya melebihkan orang Melayu,” kata perdana menteri.

Matrikulasi ialah program pra universiti setahun atau dua tahun bagi lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama di unversiti. Ia dikendalikan sejak 1980-an di setiap universiti dengan modul dan pelaksanaan yang berbeza.

Ia diperkenalkan pada masa itu terutamanya untuk menambah bilangan graduan Melayu dan Bumiputera dalam bidang sains, sebelum program itu berkembang meliputi hampir semua kursus.

Matrikulasi ialah program pra universiti setahun atau dua tahun bagi lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama di unversiti yang dikendalikan sejak 1980-an. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2019.

Bagi tujuan penyeragaman, Kementerian Pendidikan mengambil alih program matrikulasi mulai tahun 1999.

Kemasukan ke matrikulasi dibuat mengikut kuota: 90% untuk Bumiputera, 10% untuk bukan Bumiputera – atau seorang pelajar bukan Bumiputera bagi setiap sembilan pelajar Bumiputera, dengan keutamaan bagi pelajar dari keluarga berpendapatan rendah B40.

Pada 29 April lepas, Jemaah Menteri memutuskan menambah 15,000 tempat untuk matrikulasi menjadikan keseluruhan 40,000 tempat bermula tahun ini.

Keputusan kabinet itu dibuat selepas timbul rungutan daripada pemimpin kaum India dari MIC, DAP dan Gerakan yang mendakwa pelajar cemerlang kaum India tidak dapat tawaran ke matrikulasi dan kerajaan PH sudah mengurangkan kuota untuk kaum India.

Rungutan itu mencetuskan polemik tentang wajar atau tidak matrikulasi terus wujud serta kedudukan STPM dalam sistem pendidikan negara. Antara kritikan yang disuarakan ialah program matrikulasi kononnya lebih mudah untuk lulus berbanding STPM.

Pemimpin politik dan ahli akademik menggesa kerajaan mula mengambil langkah untuk memansuhkan program matrikulasi secara beransur-ansur dan pada masa sama, memperkemas mutu STPM untuk dijadikan kursus pra universiti tunggal untuk semua pelajar Malaysia. – 12 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen