BTS, KBS dan PSM


Radzi Tajuddin

BTS bukanlah Bandar Tasik Selatan. Jika ia sedemikian, maka tidaklah menjadi isu.

KBS adalah Kementerian Belia & Sukan. Mengapa kementerian yang sepatutnya fokus kepada kemajuan sukan terlibat dalam penganjuran konsert?

Ini kerana KBS merupakan pemilik “venue” terbesar di Malaysia iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil serta Axiata Arena (dan beberapa venue lain)

PSM atau Perbadanan Stadium Malaysia adalah agensi di bawah KBS yang diamanahkan menjaga dan memajukan aset tersebut.

Mewakili PSM, saya terlibat dalam usaha membawa BTS ke Malaysia.

Mesyuarat bersama agen dan promoter (Live Nation) diadakan sejak Disember 2018 di Seoul, London dan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun kedatangan BTS masih belum 100% dimuktamadkan. Perbincangan akhir akan diadakan di Los Angeles.

Ini menunjukkan proses membawa masuk BTS adalah panjang, rumit dan perlu melobi dengan orang atasan.

Mengapa begitu payah? Jawapan pertama kerana BTS adalah kumpulan muzik paling top di dunia buat masa ini. Semua negara mahukan mereka. Ini hakikat. Jika Zed Zaidi atau Sharnaaz bertaraf sedemikian, sudah pasti PSM menghantar proposal. Malangnya, tidak.

Jawapan kedua pula ialah imej Malaysia selaku destinasi hiburan dan acara antarabangsa amatlah buruk.

Batal acara saat akhir, proses permohonan yang rumit dan cukai hiburan yang sangat tinggi – ini semua menyumbang kepada sebab Malaysia sering digugurkan dari kalendar acara antarabangsa meskipun Singapura, Thailand dan Indonesia dimasukkan.

Malangnya pasaran di Malaysia adalah besar. Namun pasaran ini dilupakan dan nereka terpaksa ke negara jiran. Berapa ramai ke Singapura hanya untuk menonton Coldplay?

Ditambah lagi dengan cita-cita Malaysia menjadi destinasi pelancongan utama, sesuatu perlu dilakukan bagi memulihkan imej dan jenama Malaysia terutama dalam penganjuran acara antarabangsa.

Jadi, membawa masuk BTS adalah keputusan yang strategik. Ini samalah dengan keputusan PSM melobi konsert Ed Sheeran diadakan di Stadium Nasional berbanding Axiata Arena. Hasilnya 41,000 penonton hadir dan merupakan konsert berbayar terbesar dalam sejarah Malaysia.

PSM mendapat pulangan terus dari segi sewaan tempat, suite korporat, jualan tiket, parkir kereta dan tapak niaga.

Pulangan tidak langsung pula melalui kesan hiliran ekonomi kepada pengendali logistik, pengusaha hotel, vendor pengurusan acara, jurutera audio, kakitangan lapangan sehinggalah kepada peniaga food truck di luar stadium.

Itu baru Ed Sheeran. Bayangkan BTS. Sesiapa yang berfikiran “pro-growth” pasti tidak akan menafikan kesemua ini melainkan dirinya mempunyai agenda politik tertentu.

Mengapa PSM yang perlu membawa BTS dan bukannya pihak swasta?

Tidak ada masalah jika ada pihak yang sanggup. Realitinya tidak banyak penganjur di Malaysia yang ingin melabur modal terlalu tinggi atas faktor di perenggan 11.

Baru-baru ini Malaysia terlepas peluang mendapatkan Backstreet Boys (BSB) kerana promoter tertentu enggan membayar caj tambahan RM500 ribu kerana risiko yang ada.

Sekali lagi Malaysia tersisih sedangkan BSB bakal beraksi di Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura. Tidakkah ini satu tamparan hebat kepada Malaysia Truly Asia?

Oleh demikian PSM mengambil keputusan untuk menjadi penganjur bersama bagi acara-acara mega. PSM boleh mengeluarkan kos dalam bentuk venue mahupun sejumlah wang.

Untuk rekod, wang ini bukanlah geran tambahan daripada kerajaan sebaliknya hasil daripada penjimatan yang diperolehi PSM dengan rundingan semula kontrak legasi dan beberapa strategi revenue making yang telah berjaya.

Sedikit pencerahan mengenai prestasi kewangan PSM:

2016 (Rugi RM8.24j, Geran Kerajaan RM7.78j )

2017 (Rugi RM24.71j, Geran Kerajaan RM34.93j)

2018 (Untung RM2.79k, Geran Kerajaan RM14.17j)

Sudah jelas PSM tidak menjana wang secukupnya dan bergantung kepada geran kerajaan.

Jadi, model bisnes ini perlu ditukar. “PSM baru” ingin menjadi organisasi yang diuruskan secara profesional dan membuat duit.

Melalui duit tersebut, PSM boleh menjaga aset-aset KBS (baca: kompleks sukan/stadium) tanpa mengharapkan geran kerajaan. Ini sahaja sedikit sebanyak menjimatkan duit pembayar cukai.

Sebenarnya inilah yang dilakukan di stadium utama di dunia. Stadium Wembley, meskipun menjadi Tanah Haram buat pasukan bola sepak England masih tetap memerlukan empat hingga enam acara mega bukan sukan setahun supaya menjana duit yang secukupnya.

Kebanyakan stadium di sana terdapat kekangan dari segi cuaca. Tetapi Malaysia mempunyai summer 12 bulan sekali gus memberikan kita peluang besar.

Mengapa perlu mengharapkan geran puluh juta jika boleh buat duit sebanyak itu sendiri?

Jika dengan membawa BTS mampu mencapai objektif tersebut, kenapa tidak?

Jika ada pihak ingin menawarkan alternatif yang mampu mencapai objektif dan skala yang sama dengan membawa artis tempatan, PSM bersedia mendengar cadangan tersebut.

Tetapi jika rakyat Malaysia lebih suka wang cukai mereka digunakan untuk mensubsidi PSM, kita batalkan sahajalah membawa masuk BTS. – 7 Mei, 2019.

* Radzi Tajuddin ialah juga ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Stadium Malaysia.

* Radzi Tajuddin adalah ketua pegawai eksekutif Hartabumi.com.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen