Ummah tak tahu menahu pasal poster TMJ


SM Amin

Tunku Mahkota Johor dilihat popular dalam perhimpunan semalam apabila ramai peserta perhimpunan membawa sepanduk memaparkan wajahnya dengan slogan mempertahankan institusi diraja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2019.

PENGANJUR Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam di Kuala Lumpur semalam tidak tahu bagaimana sepanduk dan poster yang memaparkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Iskandar diangkat semasa perhimpunan.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Aminuddin Yahya berkata, pihak penganjur tidak berurusan dengan Tunku Mahkota Johor sebelum perhimpunan berlangsung.

“TMJ (Tunku Mahkota Johor) tiada membuat apa-apa pembiayaan dalam himpunan semalam. Kita tidak pernah berkomunikasi dengan TMJ dan begitu juga TMJ dengan kita.

“Kalau ada yang mendakwa sedemikian itu hanya dakwaan kosong,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Tunku Mahkota Johor dilihat popular dalam perhimpunan semalam apabila ramai peserta perhimpunan membawa sepanduk memaparkan wajahnya dengan slogan mempertahankan institusi diraja.

Media semalam memetik peserta perhimpunan berkata mereka membawa poster menyokong putera raja itu sebagai tanda protes kepada kerajaan dan sokongan kepada istana, ketika Putrajaya berselisih pendapat dengan Istana Johor dalam beberapa isu melibatkan hak persekutuan dan negeri.

Peserta perhimpunan juga berkata mereka diedarkan plakad dengan wajah Tunku Mahkota di kawasan perhimpunan bermula iaitu di Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Peserta perhimpunan berkata mereka membawa poster menyokong putera raja itu sebagai tanda protes kepada kerajaan dan sokongan kepada istana, ketika Putrajaya berselisih pendapat dengan Istana Johor dalam beberapa isu melibatkan hak persekutuan dan negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2019.

Poster itu antara lain bertulis “Kamu sentuh TMJ, kami lawan”, “Raja dan rakyat berpisah tiada”, “TMJ = Rakyat” dan “TMJ teruskan perjuangan”.

Menurut Aminuddin, apa yang berlaku dalam perhimpunan semalam adalah hak peserta dan penyokong mereka yang tidak boleh dikawal oleh pihak penganjur.

“Ummah tiada mengeluarkan apa-apa poster seperti itu. Saya pun tidak pasti siapa yang membawa poster-poster itu,” katanya.

Ummah bagaimanapun melihat poster Tunku Mahkota Johor yang diangkat semalam sebagai tanda sokongan rakyat kepada putera raja itu, yang lantang bersuara mempersoalkan beberapa keputusan kerajaan termasuk menandatangani Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa tanpa merujuk Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.

“Itu menunjukkan rakyat sangat bimbang dan tidak puas hati dengan pertembungan antara kerajaan dengan pihak istana khususnya raja-raja. Rakyat meluahkan ketidakselesaan dan kebimbangan mereka,” kata Aminuddin.

Himpunan ummah semalam menghimpunkan ribuan peserta yang membanjiri tengah ibu kota untuk menyatakan sokongan mereka kepada hak Melayu dan Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2019.

Ketika diminta mengulas mengenai Himpunan Sejuta Umat Bantah Statut Rom 1506 yang dijadualkan pada 15 Jun depan, Aminuddun berkata beliau tidak tahu tentang penganjuran himpunan tersebut.

Jelas Aminuddin, Ummah belum lagi dimaklumkan mengenai himpunan tersebut namun menyatakan sokongan sekiranya ianya memberi manfaat kepada rakyat.

“Apa-apa yang baik, memberi kebaikan kepada rakyat dan sebagainya kita akan sokong,” ujarnya.

Gabungan Gerakan Perpaduan Kebangsaan (GerakPadu) dan Sekretariat Suara Rakyat merancang untuk menganjurkan himpunan sekiranya kerajaan tidak mengesahkan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa sebelum akhir bulan ini.

Perhimpunan itu akan diadakan di Kuala Lumpur dan dibayangkan lebih besar daripada dua perhimpunan isu Melayu dan Islam termasuk bantahan terhadap cadangan ratifikasi satu lagi dokumen antarabangsa Disember lalu iaitu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).– 5 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen