Sultan Johor setuju serah balik tanah untuk projek RTS


Mohd Farhan Darwis

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak pernah dimaklumkan mengenai tanahnya akan terlibat untuk projek RTS itu.– Gambar Facebook, 4 Mei, 2019

SULTAN Johor berkenan menyerahkan kembali tanah di Bukit Chagar, Johor Bahru tanpa kos kepada kerajaan sekiranya benar tanah itu terlibat dengan projek Sistem Transit Aliran Johor-Singapura (RTS).

Setiausaha Sulit Sultan Johor, Jaba Mohd Noah berkata, sehingga hari ini Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak pernah dimaklumkan mengenai tanahnya akan terlibat untuk projek RTS itu.

Katanya, baginda bertitah projek mestilah diteruskan dengan segera untuk manfaat rakyat yang berulang alik ke Singapura.

“Sekiranya benar tanah milik Baginda Tuanku di Bukit Chagar tersebut terlibat untuk projek RTS, maka Baginda Tuanku berkenan menyerahkan tanah yang terlibat kepada kerajaan tanpa sebarang kos.

“Dengan syarat projek RTS ini mestilah diteruskan dengan segera kerana Baginda Tuanku amat memahami derita rakyat yang terpaksa berulang alik ke Singapura,” katanya.

Menurut Jaba, Sultan Johor juga bertitah kepentingan rakyat dan kerajaan sentiasa jadi keutamaan baginda dan semua perkara mesti dibawa berbincang secara muafakat.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mendapatkan semula tanah itu termasuk membelinya semula daripada mana-mana pihak kerana ia tanah milik persekutuan.

Media semalam melaporkan tanah seluas 4.5 hektar itu ditukar milik kepada Sultan Johor semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional antara 2017 dan 2018.

Putrajaya juga dilaporkan perlu menyediakan RM495 juta sebagai pampasan untuk mengambil semula tanah berkenaan yang sekarang digunakan sebagai tempat parkir kereta.

RTS Link merupakan sistem kereta api yang dirancang untuk menghubungkan Johor Bahru dan Singapura bagi mengatasi kesesakan di Tambak Johor.

Ia merupakan antara projek yang disemak semula oleh kerajaan PH selepas mengambil alih Putrajaya tahun lalu.

Pada April lalu, Loke mengumumkan kerajaaan memohon lanjutan tempoh enam bulan lagi daripada kerajaan Singapura untuk mengkajinya.

Beliau berkata tempoh lanjutan sehingga September itu bagi membolehkan kerajaan meneliti beberapa perkara termasuk kos pelaksanaan projek tersebut.

Projek yang menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands di Singapura dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah. – 4 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen