PROJEK Sistem Transit Rapid (RTS Link) berdepan masalah baharu kerana tanahnya didapati dipindah milik kepada Sultan Johor, kata sumber kerajaan negeri.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, perkara itu diketahui daripada minit laporan ke atas status tanah di tapak Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) itu.
Menurutnya, pemindahan milik tanah tanah seluas 4.5 hektar itu akan melambatkan lagi projek tersebut, yang kini dikaji semula kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Tanah di Bukit Chagar itu dirancang akan digunakan untuk laluan RTS, tetapi bila timbul perkara ini, ia melambatkan proses untuk meneruskan projek pembinaan RTS antara Johor dan Singapura,”
Jelas sumber, masalah paling besar adalah dari segi kos kerana kerajaan persekutuan terpaksa membayar kos tambahan untuk mengambil alih semula tanah tersebut.
“(Padahal) pada asalnya tanah berkenaan adalah tanah milik kerajaan persekutuan,” tambah sumber yang rapat dengan pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau turut mendedahkan dokumen yang merupakan minit bebas laporan ke atas tanah tapak CIQ itu.
Menurut dokumen tersebut, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Negeri Johor mendapati tanah berkenaan didaftarkan hakmilik kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Perkara itu diketahui pada 28 Januari lalu, menurut minit bebas tersebut yang bertarikh sehari kemudian.
Perubahan hak milik tanah tersebut turut disahkan oleh satu sumber dari pejabat seorang menteri persekutuan.
Pegawai berkenaan yang enggan dinamakan berkata perubahan hak milik tanah itu dipercayai berlaku antara 2017 hingga 2018.
Sementara itu, Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal yang ditemui di Kuala Lumpur hari ini enggan mengulas ketika disoal berkaitan status tanah berkenaan.
The Malaysian Insight juga sedang berusaha mendapatkan penjelasan Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkaitan perkara itu.
Turut dihubungi adalah ketua pengarah tanah dan galian persekutuan negeri Johor untuk mendapatkan butiran lanjut.
RTS Link merupakan sistem kereta api yang dirancang untuk menghubungkan Johor Bahru dan Singapura bagi mengatasi kesesakan di Tambak Johor.
Ia merupakan antara projek yang disemak semula oleh kerajaan PH selepas mengambil alih Putrajaya tahun lalu.
Pada April lalu, Loke mengumumkan kerajaaan memohon lanjutan tempoh enam bulan lagi daripada kerajaan Singapura untuk mengkajinya.
Beliau berkata tempoh lanjutan sehingga September itu bagi membolehkan kerajaan meneliti beberapa perkara termasuk kos pelaksanaan projek tersebut.
Projek yang menghubungkan Bukit Chagar, Johor ke Woodlands, Singapura itu dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.
Pengambilalihan tanah itu dijangka menjadi satu lagi isu yang menguji hubungan di antara Putrajaya dan Sultan Johor. – 3 Mei, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan