Ada pihak lontar idea parti baharu untuk Johor, kata sumber


SM Amin

Ketika Istana Johor di bawah pentadbiran Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berselisih faham dengan Putrajaya yang diterajui Dr Mahathir Mohamad, ada cadangan penubuhan Parti Bangsa Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2019.

ADA cadangan daripada “golongan atasan” yang mahu menubuhkan sebuah parti politik baru khusus untuk Johor ketika Istana Johor dilihat berselisih faham dengan Putrajaya dan mempunyai hubungan dingin dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Parti baru itu dicadang dinamakan Parti Bangsa Johor, kata sumber.

Cadangan itu timbul dalam beberapa pertemuan melibatkan parti politik dan pertubuhan masyarakat di Johor, yang berlangsung dalam tempoh dua bulan lalu.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, antara idea yang dibincangkan pada semua pertemuan itu ialah keperluan Johor ditadbir oleh bangsa Johor tanpa campur tangan pihak negeri lain.

“Dalam perjumpaan itu, banyak cakap mengenai kenapa rakyat tidak lagi menyokong institusi diraja. Daripada situ muncul idea Parti Bangsa Johor supaya nampak rakyat menyokong istana.

“Banyak yang Istana Johor buat sebelum dipertikai oleh netizen. Campur tangan orang luar seperti Dr. Mahathir yang cuba mengawal Johor menimbukan rasa kurang senang orang Johor. Johor seharusnya ditadbir oleh orang Johor,” kata sumber, yang turut hadir dalam satu pertemuan itu. 

Hubungan Johor dan Putrajaya tidak berapa baik susulan siri perang mulut antara Istana Johor dan pentadbiran persekutuan dalam beberapa isu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2019.

Tambah sumber, cadangan itu umumnya kurang mendapat sambutan kerana dirasakan kurang rasional.

“Ini baru cadangan tetapi ramai yang tidak setuju kerana tidak rasional untuk tubuh parti baru semata-mata untuk menentang Dr. Mahathir.

“Orang Melayu akan berpecah lagi,” katanya.

Bagaimanapun cadangan itu sehingga ini terus jadi bahan bualan dalam kalangan ahli politik di Johor namun tidak serancak seperti sebelum ini.

Sementara itu Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah mendakwa tidak maklum mengenai cadangan itu.

Bagaimanapun beliau menyifatkan cadangan penubuhan parti baharu itu tidak wajar kerana anak muda masih lagi bersama Umno.

Malah kerjasama Umno dan PAS juga sudah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada majoriti rakyat di Johor, katanya.

“Anak muda masih setia dengan Umno. Tidak perlu parti baharu.

“Sekarang ini di Johor, di Batu Pahat umpamanya, bukan setakat di peringkat cawangan-cawangan tetapi di PDM-PDM (pusat daerah mengundi) setiap malam ada ceramah-ceramah. Ada ceramah yang ribuan hadir walau dibuat dalam skala kecil,” katanya.

Selasa lalu, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim memberi bayangan akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Muar atau Mersing.

Johor, negeri yang bersempadan dengan Singapura kini berdepan kedinginan hubungan dengan Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2019.

Beliau memberi gambaran itu melalui satu kiriman di Instagram Story yang memaparkan fotonya lengkap berpakaian rasmi diraja diiringi tulisan “I am running #PRU15”.

Tidak jelas sejauh mana kiriman Tunku Temenggong Johor itu serius tetapi setiap kenyataan keluarga diraja Johor di media sosial sering mendapat perhatian kerana menyentuh hal-hal bersangkutan dengan kerajaan, berbeza dengan kerabat diraja negeri lain.

Kelmarin, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris menzahirkan perasaan baginda mengenai komen pelbagai pihak terhadap anakandanya.

“Sebagai seorang ibu yang sudah mengalami keperitan melihat seorang anaknya menghembus nafas yang terakhir, dan melihatnya dikebumikan, mungkin tidaklah salah jika saya terasa tertekan apabila anak saya yang lain dimaki hamun dengan rancak, diperli, dan dijadikan sebagai hiburan untuk semua yang memikirkan mereka lebih bijak, dan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan pun,” tulis baginda di Facebook.

Seorang lagi puteranya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Iskandar sejak sebelum PRU14 berdepan kecaman terbuka rakyat selepas menganjurkan sokongan kepada Najib Razak dan Barisan Nasional (BN).

Sejak Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, kerajaan beberapa kali bergeser dengan raja-raja Melayu, terutamanya melibatkan Dr Mahathir dan Istana Johor menyentuh soal hak negeri dan persekutuan.

Bulan lalu, Sultan Johor membidas Putrajaya atas keputusan mahu menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa dengan alasan ia bertentangan dengan perlembagaan dan menjejaskan kedudukan raja-raja.

Sebulan selepas menandatangani Statut Rom, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 5 April mengumumkan Malaysia akan tarik diri kerana kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam masyarakat.

Baru-baru ini, Putrajaya dan Istana Johor sekali lagi dilaporkan bertembung berhubung pengganti menteri besar dan rombakan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri. – 4 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen