Permaisuri Johor tertekan lihat puteranya dimaki hamun


Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris mengaku tertekan kerana melihat Tunku Ismail menerima kecaman meluas. – Gambar Facebook, 2 Mei, 2019.

KELUARGA diraja Johor menyatakan kekesalan atas cemuhan diterima Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang sering bergeser dengan Putrajaya

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris dalam kenyataan di Facebook mengaku tertekan kerana melihat Tunku Ismail menerima kecaman meluas.

Baginda menempelak individu yang mengecam puteranya itu dan berkata sikap pihak berkenaan seolah-olah bebas daripada sebarang kesalahan.

Raja Zarith berkata beliau amat terasa dengan serangan itu memandangkan seorang puteranya Tunku Abdul Jalil Iskandar meninggal dunia akibat kanser.

“Sebagai seorang ibu yang sudah mengalami keperitan melihat seorang anaknya menghembus nafas yang terakhir dan melihatnya dikebumikan.

“Mungkin tidaklah salah jika saya terasa tertekan apabila anak saya yang lain dimaki hamun dengan rancak, diperli dan dijadikan bahan hiburan untuk semua mereka yang memikirkan lebih bijak dan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan pun,” kata Raja Zarith di Facebook.

 

Luahan itu seterusnya disambut oleh TMJ yang meminta bondanya itu agar tidak berasa bimbang dengan cemuhan yang diterima.

“Jangan risau Mama. Segala-galanya akan baik saja. Tidak kira betapa gelapnya ribut melanda, ia akan sentiasa ada sinar mentari.

“Ini janjiku kepadamu, wahai ibuku. Allah peliharakan sultan,” jawab Tunku Ismail yang merupakan pewaris takhta Johor di Facebook.

 

TMJ menerima kecaman dan cemuhan di media sosial susulan gesaannya minggu lalu supaya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ditukar.

Dr Mahathir sewaktu menjawab gesaan itu bagaimanapun mengingatkan putera raja tersebut bahawa kedudukan sebagai Tunku Mahkota Johor boleh ditukar tetapi hanya rakyat yang boleh menukar perdana menteri.

Pergeseran itu sepatutnya reda pada 25 April apabila Sultan Johor Sultan Iskandar mencadangkan pertemuan diadakan dengan Putrajaya untuk menyelesaikan isu yang berbangkit.

Antara isu yang menimbulkan pergeseran baharu di antara Istana Johor dan Putrajaya adalah berhubung lantikan menteri besar dan exco baharu negeri itu.

Terdahulu, Putrajaya dan Istana Johor bergeser dalam isu penyertaan Malaysia dalam perjanjian Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). – 2 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen