Itu tanah kita, tegas Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Putrajaya akan membayar supaya hak milik tanah yang terlibat dengan projek RTS Link itu kembali menjadi milik kerajaan persekutuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 Mei, 2019

PUTRAJAYA menegaskan haknya ke atas sebidang tanah di Bukit Chagar yang didakwa dipindah milik kepada Sultan Johor.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya akan membayar supaya hak milik tanah yang terlibat dengan projek RTS Link itu kembali menjadi milik kerajaan persekutuan.

Sekiranya ia dipindah milik tanpa bayaran sekalipun, kerajaan persekutuan tetap akan mengambil balik hak tanah tersebut, tegasnya lagi.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata status sebenar tanah tersebut masih belum dapat dipastikan kerana kerajaan waktu ini hanya mengetahui dakwaan tersebut melalui laporan media.

“Setakat yang kita tahu, kita tidak dapat laporan penuh, kita dengar khabar angin, tanah ini diambil alih oleh Sultan Johor. Tentang bayaran kita tidak tahu.

“Kalau baginda ada membuat pembayaran kita perlu membelinya semula. Jika baginda tidak membuat bayaran, kita tidak perlu beli balik. Itu tanah kita,” kata Dr Mahathir.

Beliau juga percaya Sultan Johor tidak merampas tanah berkenaan.

“Ya, saya tidak fikir tuanku (Sultan Johor) nak rampas tanah kerajaan pusat. Kita kena buat tuntutan lain tunjuk itu (tanah) sebenarnya kita punya,” katanya lagi.

Dalam sidang media di Kuala Lumpur itu, Dr Mahathir menjelaskan kerajaan memerlukan tanah itu untuk membina beberapa bangunan lain.

“Kita memerlukan tanah itu. Ia sebahagian daripada tanah yang kita ambil bertujuan untuk membina beberapa bangunan yang diperlukan,” kata ahli Parlimen Langkawi itu lagi.

Beliau turut menangkis andaian bahawa isu bersabit status tanah berkenaan akan menyebabkan hubungan Putrajaya dan Istana Johor kembali tegang.

“Tak ada tegang. Apa yang tegang,” katanya yang turut menjelaskan projek RTS Link itu bukan keutamaan kerajaan buat masa ini. 

Dr Mahathir mengulas laporan The Malaysian Insight bahawa tanah yang menempatkan projek RTS Link itu didakwa dipindah milik kepada Sultan Johor.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, perkara itu diketahui daripada minit laporan ke atas status tanah di tapak Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) itu.

Menurut sumber, pemindahan milik tanah tanah seluas 4.5 hektar itu menimbulkan masalah kerana akan melambatkan lagi projek RTS Link, yang kini dikaji semula kerajaan Pakatan Harapan (PH). – 3 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen