Projek RTS Link bukan keutamaan, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan ambil tempoh masa enam bulan untuk kaji semula, sama ada untuk teruskan atau kemuka cadangan lain.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 Mei, 2019

PROJEK kereta api RTS Link bukan keutamaan kerajaan kerana tidak mampu menyelesaikan masalah kesesakan di sempadan Malaysia-Singapura, kata perdana menteri.

Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan membuat keputusan sama ada akan meneruskan atau mengemuka cadangan lain selepas tamat tempoh kajian enam bulan, berakhir September ini.

“Kita setuju ambil tempoh masa enam bulan untuk kaji semula, sama ada untuk teruskan atau kemuka cadangan lain.

“Yang jelas, RTS tidak akan selesaikan masalah yang dihadapi trafik antara Malaysia dan Singapura,” kata Dr Mahathir dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Tambahnya, pengangkutan menggunakan keretapi untuk menghubungkan kedua-dua negara juga tidak sesuai kerana ruangannya terhad.

“Memang pun, jika kita bina kereta api, tidak semua penumpang dari Malaysia ke Singapura boleh bawa, tidak boleh bawa semua motosikal, kereta api agak terhad dengan kapasitinya,” katanya.

Beliau mengulas status projek berkenaan, yang tertangguh sejak perjanjiannya dimeterai dengan Singapura pada Januari 2018.

Projek RTS Link dirancang akan menghubungkan Bukit Chagar, Johor ke Woodlands, Singapura.

Status projek itu menjadi perhatian apabila timbul dakwaan bahawa tanah di tapak projek tersebut di Bukit Chagar didakwa ditukar hak milik kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, perkara itu diketahui daripada minit laporan ke atas status tanah di tapak Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) itu.

Menurut sumber, pemindahan milik tanah tanah seluas 4.5 hektar itu menimbulkan masalah kerana akan melambatkan lagi projek RTS Link. – 3 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen