Pembaharuan wujud tetapi Pakatan boleh buat lebih baik


Mustafa K. Anuar

Pakatan Harapan berjaya merampas Putrajaya daripada gengaman Barisan Nasional, perubahan kerajaan persekutuan pertama dalam sejarah negara, dan rakyat mahukan perubahan penting dilakukan lebih pantas dan segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2019.

MENJELANG setahun usia pentadbiran Pakatan Harapan, kerajaan baharu berjaya membuat beberapa perubahan penting walaupun tindakannya mengecewakan dalam beberapa isu, kata ahli akademik dan aktivis sosial.

Pembatalan hasrat ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom serta undang-undang zalim yang masih belum dimansuhkan adalah antara kekecewaan terhadap gabungan pemerintahan baharu itu.

Penasihat kumpulan sivil Malaysia Muda, Fadiah Nadwa Fikri menegaskan rakyat yang mahukan pembaharuan sebenar wujud di Malaysia perlu sedar bahawa “mereka yang berkuasa tidak akan memberikan pembaharuan yang rakyat mahukan”.

“Sejarah dunia membuktikan yang kebebasan tidak pernah diberikan, ia perlu diperjuangkan. (Pihak) Kuasa hanya akan tunduk bila rakyat secara kolektif bersatu dan menuntut hak mereka.”

Tuntutan kepada kebebasan asas perlu dihormati dan dijunjung kerana ia adalah asas kepada perjuangan rakyat yang mahukan pembaharuan, kata Fadiah lagi.

Dr Khoo Ying Hooi, timbalan ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, bagaimana berpandangan yang rakyat perlu bersabar kerana ini adalah perubahan kerajaan yang pertama pernah berlaku di Malaysia.

“Saya fikir terdapat lebih banyak desakan dan tumpuan rakyat kepada dasar kerajaan, yang merupakan petunjuk positif kerana ia akan memberi tekanan kepada kerajaan baharu untuk memenuhi hasrat rakyat,” kata Khoo.

Tetapi, bagi Fadiah, kuasa kolektif mustahak dalam pembangunan demokrasi tulen yang “memerlukan kebangkitan kesedaran kritikal dalam kalangan rakyat yang membolehkan kita mencabar dan menguraikan sistem dan struktur sedia ada yang selama ini mewujudkan politik membinasa yang wujud sekarang”.

“Ini sangat penting terutama ketika ramai memilih untuk tidak mengkritik kerajaan baharu kerana bimbang dilabel tidak rasional, tidak sabar dan pengacau.”

Profesor University of Notthingham Malaysia Zaharom Nain pula berpandangan terlalu awal untuk menuntut penguraian sistem negara yang sudah bertapak sejak lebih 60 tahun.

“Memang ada usaha pembaharuan sebenar menerusi pembersihan institusi yang merupakan penggerak perubahan seperti Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Menteri perlu jadi lebih berani dan perlu menyingkirkan orang yang tak berguna dan paling penting sekali menghapuskan pensabotaj.

“Tetapi ahli Parlimen yang sebelum ini menentang undang-undang zalim, serangan ke atas kebebasan peribadi dan sebagainya perlu bertindak kerana mereka adalah sebahagian daripada kerajaan baharu sekarang.” – 3 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen