Pakatan masih gagal mansuh Akta Hasutan, kata panel Statut Rom


Bekas diplomat dan jurucakap Kumpulan G25 Noor Farida Ariffin berkata akta tersebut digunakan bagi menyiasat laporan polis terhadap forum itu menunjukkan Putrajaya masih belum menunaikan manifesto pilihan rayanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2019.

BUKAN salah polis menyiasat Forum Malaysia dan Statut Rom menggunakan Akta Hasutan kerana Pakatan Harapan (PH) masih gagal menunaikan janji memansuhkan undang-undang itu sejak jadi kerajaan hampir setahun lalu,  kata salah seorang panelis forum.

Bekas diplomat dan jurucakap Kumpulan G25 Noor Farida Ariffin berkata akta tersebut digunakan bagi menyiasat laporan polis terhadap forum itu menunjukkan Putrajaya masih belum menunaikan manifesto pilihan rayanya.

“Sudah sampai masanya Putrajaya memansuhkan akta yang dijanjikan dalam manifestonya. Ini (forum pada Sabtu lalu) adalah perbincangan akademik untuk menolak, bagi saya,  nasihat undang-undang ‘palsu’ dari empat profesor berkenaan Statut Rom.

“Mereka mengelirukan (Raja-Raja Melayu) dan memberi tafsiran salah mengenai peruntukan undang-undang statut itu. Jadi, forum dianjurkan untuk menggalakkan perbincangan awam dan memperbetulkan salah faham,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Noor Farida mengulas laporan berita bahawa forum yang diadakan di Universiti Malaya pada Sabtu disiasat di bawah Akta Hasutan.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mengumumkan polis akan menyiasat forum tersebut mengikut Akta Hasutan 1948 dan beberapa undang-undang lain.

Siasatan dibuat kerana pihak polis menerima beberapa laporan ada beberapa kenyataan yang didakwa menghina Raja-Raja Melayu dikeluarkan pada forum itu, kata Fuzi.

Forum membincangkan pembentangan oleh empat pensyarah kepada Raja-Raja Melayu mengenai Statut Rom pada 2 April lalu. Pembentangan didakwa mempengaruhi Raja-Raja Melayu untuk menolak perjanjian antarabangsa tersebut. – 29 April, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen