Sedar Malaysia salah faham forum Statut Rom, kata aktivis pelajar


Mikha Chan

Aktivis pelajar Asheeq Ali antara yang terlibat menjadi panelis forum Statut Rom semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 April, 2019.

PERTUBUHAN Sahabat Erat dan Amanat Rakyat (Sedar Malaysia) telah tersalah faham berkenaan isi forum Statut Rom semalam, kata aktivis pelajar Asheeq Ali.

Merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh kumpulan haluan kanan itu terhadap penganjur forum, moderator dan panelis Asheeq berkata, mereka telah memilih komentar Syed Husin Ali mengenai monarki untuk memburuk-burukkan seluruh forum.

“Mereka sepatutnya melihat kandungan hujah itu, tetapi mereka tidak buat. Di mana komen tentang apa yang dikatakan oleh peguam negara ? Tidak ada komen tentang perkara itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Asheeq berkata, komen Syed Husin juga akademik semata-mata dan dia tidak fikir Akta Hasutan boleh digunakan terhadapnya.

Asheeq dan beberapa aktivis pelajar lain bertanggunggjawab memuat naik rumusan eksekutif 10 halaman kepada Majlis Raja-Raja pada 2 April lalu dan didakwa menyebabkan Raja-Raja Melayu menolak Statut Rom.

Presiden Sedar Malaysia Nazrin Noraini berkata, ahli panel memperlekeh institusi diraja dalam ucapan mereka, malah hadirin yang datang turut bersorak menyokong kenyataan menghina itu.

“Sedar Malaysia hadir pada forum tersebut untuk mendapatkan pencerahan tentang Statut Rom dan adalah mengejutkan apabila forum ini telah bertukar menjadi pesta untuk mencaci dan menghina raja-raja Melayu,” katanya dalam laporan berkenaan.

Forum semalam disertai Peguam Negara Tommy Thomas, pakar perlembagaan Prof Dr Shad Saleem Faruki, ahli G25 Noor Farida Ariffin, pakar sosiologi terkenal Dr Syed Husin Ali, peguam Lim Wei Jiet dan Asheeq.

Syed Hussin pula mempersoalkan bantahan ke atas Statut Rom yang dibuat “negeri selatan tertentu” dan menimbulkan persoalan sekiranya ada ahli keluarga diraja yang disoal siasat polis kerana catatan media sosial yang dimuat naik mereka. – 28 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen