Masalah komunikasi jejas usaha reformasi Pakatan


Sheridan Mahavera Lee Chi Leong Mikha Chan

Pakatan Harapan yang mencipta sejarah menumbangkan Barisan Nasional perlu ada strategi komunikasi berkesan untuk melaksanakan reformasi negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2019.

MASALAH komunikasi berkesan dan rendahnya kesedaran awam adalah punca mengapa ramai rakyat Malaysia tidak menyokong usaha reformasi yang mahu dilaksana kerajaan Pakatan Harapan, kata ahli akademik dan pemimpin kumpulan sivil.

Kerajaan PH juga perlu ada keberanian moral untuk berbuat perkara yang betul dan tidak boleh tunduk kepada tekanan nasionalis Melayu dan konservatif Islam, kata mereka lagi.

Tetapi, walaupun PH berdepan tekanan hebat dalam tahun pertama mentadbir, ahli akademik dan pemimpin kumpulan sivil yakin kerajaan mampu meraih kembali populariti dan melaksanakan reformasi dirancang kerana tempoh mentadbir mereka masih berbaki empat tahun.

Isu paling mustahak kini adalah PH perlu memulihkan ekonomi negara bagi meraih sokongan Melayu kelas pekerja, supaya kekecewaan mereka tidak mudah dieksploitasi pelampau kaum dan agama yang jadi penghalang usaha reformasi kerajaan.

Dalam tahun pertama mentadbir, PH terpaksa melupakan beberapa janji hak asasi seperti meratifikasi perjanjian antarabangsa untuk menghapuskan diskriminasi kaum dan satu lagi perjanjian untuk menjadikan Malaysia ahli mahkamah jenayah antarabangsa.

Mac lalu, Merdeka Center mengeluarkan hasil kajian menunjukkan 69% responden tidak mahu hukuman mati dimansuhkan, manakala 50% lagi tidak bersetuju had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

Ini kali pertama perubahan kerajaan berlaku di Malaysia, rakyat dan kerajaan perlukan masa untuk reformasi, kata Dr Syed Husin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2019.

Walaupun PH berjaya menakluk Putrajaya dengan janji reformasi institusi negara dan merancakkan ekonomi, populariti kerajaan baharu itu jatuh menjunam daripada 66% pada Ogos tahun lepas kepada hanya 39% pada Mac tahun ini. 

“Ini adalah kali pertama rakyat Malaysia berdepan perubahan besar dalam kerajaan,” kata ahli akademik dan bekas senator Dr Syed Husin Ali yang mengulas isu kejatuhan populariti tersebut.

“Tetapi, saya percaya ia akan berubah sebaik sahaja wujud reformasi dalam negara. Kita perlu beri masa kepada kerajaan. Saya sendiri pun tidak gembira dengan pemimpin tertentu,” kata bekas timbalan presiden PKR – salah satu parti komponen PH- itu.

Peguam hak asasi Lim Wei Jiet pula berkata kerajaan kekurangan strategi komunikasi yang bagik untuk menjelaskan rasional dasar yang boleh cetus kontroversi.

“Seperti merendahkan umur boleh mengundi dan hapuskan hukuman mati. Awak perlu mendidik orang dengan berkesan sebelum buat keputusan untuk bentang rang undang-undang atau buat sesuatu keputusan,” kata timbalan pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan Badan Peguam itu.

“Jika awak tak berkomunikasi dengan berkesan, dapatlah reaksi yang diterima untuk ICERD dan Statut Rome. Awak perlu berkomunikasi dengan berkesan.”

Usaha PH untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rome terhenti apabila nasionalis Melayu dan pelampau agama memainkan kebimbangan tidak berasas yang kedua-dua perjanjian tersebut akal menjejaskan hak dan kedudukan istimewa Melayu dan Islam.

Makin lama makin baik

Seorang lagi peguam dan aktivis hak asasi Prof Gurdial Singh Nijar pula merasakan kerajaan perlu meneruskan reformasi ini walaupun berdepan bantahan parti pembangkang dan sekutu mereka.

“Kerajaan perlu bertindak tanpa mengira sentimen popular, kerana awak perlu buat perkara yang betul,” kata Gurdial yang juga presiden kumpulan hak asasi Hakam.

Dasar yang bercanggah juga perlu dibahaskan dan dijelaskan di Parlimen bagi membolehkan undang-undang dipinda untuk mengubahnya, kata Gurdial lagi.

Putrajaya perlu mengadakan perbincangan dengan banyak pihak termasuk kumpulan masyarakat sivil sebelum memutuskan pelaksanaan dasar, kata bekas diplomat Noor Faridah Ariffin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2019.

Walaupun berdepan tentangan dan cabaran melaksanakan reformasi ini, Ketua G25 Noor Farida Ariffin menegaskan yang kerajaan wajar berunding dengan semua pihak berkepentingan seperti kumpulan masyarakat sivil sebelum pelaksanaan.

“Kerajaan perlu melakukan rundingan meluas dan pandangan majoriti perlu diutamakan kerana ini adalah demokrasi,” kata Noor Farida.

Gurdial dan Syed Husin percaya kerajaan boleh meraih kembali sokongan sebelum penggal pertama pentadbiran mereka berakhir.

Tinjauan Merdeka Center menunjukkan ia boleh berlaku, apabila 67% responden percaya kerajaan perlu diberikan masa untuk melaksanakan dasarnya.

“Kerajaan baru berusia sembilan hingga 10 bulan dan ramai yang tak pernah memegang jawatan autoriti, kecuali seorang dua. Jadi mereka perlu bina konsensus dan sokongan. Mereka ada empat tahun lebih lagi, masih banyak masa,” kata Gurdial.

Syed Husin juga percaya populariti PH akan kembali sebaik sahaja ekonomi dipulihkan dan rakyat terutama orang Melayu merasainya.

“Keresahan sekarang adalah ekonomi yang lembap, kos sara hidup tinggi. Tetapi, saya percaya jika kita beri masa kepada kerajaan dan prestasi mereka bertambah baik, populariti akan naik balik.” – 28 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen