Harap bina paip bekal air mentah dari empangan Machap, kata Maszlee


Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik berkata buat masa ini sumber bekalan untuk kegunaan penduduk Simpang Renggam dari Sungai Ulu Benut telah tercemar.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2019

BAGI mengelakkan masalah bekalan air bersih daripada terus berlarutan kepada penduduk Simpang Renggam, Ahli Parlimennya, Dr Maszlee Malik mengharapkan kerajaan negeri Johor dapat mempertimbangkan untuk menyegerakan pembinaan paip bagi membekalkan air mentah dari Empangan Machap, di Kluang.

Menurut Maszlee, buat masa ini sumber bekalan untuk kegunaan penduduk Simpang Renggam dari Sungai Ulu Benut telah tercemar dan telah menjejaskan bekalan air bersih kepada mereka.

Katanya, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (Kats) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (Mestecc) juga disarankan untuk melihat kepada keperluan bagi memperbaiki kualiti air di Sungai Ulu Benut ini.

“Kerjasama dan tindakan tegas serta serius semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan perkara ini adalah amat dihargai dan diharapkan satu penyelesaian konkrit dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat kerana pihak kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan warga Simpang Renggam.

“Sehingga kini, operasi Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam masih lagi tergendala selepas berlaku pencemaran ammonia di peringkat sumber air mentah di Sungai Ulu Benut,” katanya dalam kenyataan di Kluang hari ini.

Maszlee, yang juga menteri pendidikan, berkata masalah utama ini adalah berpunca akibat lokasi tapak perlupusan sampah Ladang CEP1 yang terletak di kawasan tidak strategik dan mendedahkan penduduk kepada risiko tidak diingin.

Menurutnya, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pentadbiran terkini yang mampu berusaha untuk menutup tapak pelupusan sampah Ladang CEP1 baru-baru ini.

Namun, katanya, semasa kerja-kerja pemulihan itu dijalankan, berlaku hujan yang lebat di tapak pelupusan sampah berkenaan yang akan menyebabkan ban tanah yang menampung kolam leachate cell 2 pecah dan melimpah ke Sungai Benut. – Bernama, 25 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen