Muhammad Muhammad Taib kembali menyertai Umno


The Malaysian Insight

Perdana Menteri Najib Razak ketika berada di PWTC untuk mengumumkan peryertaan semula Muhammad Taib ke dalam Umno hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2017.

MUHAMMAD Muhammad Taib kembali menyertai Umno kata presiden parti itu Najib Razak hari ini, dalam satu pengumuman yang mencetuskan pelbagai spekulasi sejak pagi hari ini.

Najib berkata, bekas menteri besar Selangor itu kembali menyertai Umno daripada PKR.

“Beliau menyedari perjuangan parti pembangkang, khususnya PKR adalah sia-sia,” kata Najib yag juga perdana menteri dan pengerusi Barisan Nasional.

Selepas pengumuman itu Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menerusi Twitternya: “Sau Kaw Po Ji..kah kah kah.” (kutip surat khabar lama).

Muhammad pernah menjadi ahli dewan undangan negeri Batang Kali selama empat penggal (1982-1999) dan menjadi menteri besar Selangor dari 1986 hingga 1997.

Beliau keluar daripada Umno untuk menyertai PAS selepas digugurkan daripada jawatan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah pada rombakan kabinet oleh Najib pada 2009 . Muhammad kemudian meninggalkan PAS dan menyertai PKR pada 2015.

Najib berkata penyertaan semula Muhammad ke dalam Umno adalah kerana perjuangan parti dan bukan kerana jawatan.

Muhammad pada sidang media itu berkata, keputusan itu dibuat setelah merasakan perjuangannya bersama pembangkang selama lima tahun adalah sia-sia.

“Saya buat keputusan ini setelah lima tahun kerana melihat keadaan di sebelah sana. Saya rasa perjuangan saya sia-sia sahaja. Dalam mesyuarat yang saya hadiri, tiada perbincangan agenda Melayu. Oleh itu, saya rasa kita tiada jalan lain kecuali parti Umno.

“Saya ucap terima kasih kepada Datuk Seri Najib kerana sudi menerima saya kembali. Saya berjanji akan terus bersama pemimpin parti, Selangor khususnya,” katanya.

Ketika sidang media ini diumumkan semalam, spekulasi bahawa Najib akan membubarkan parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke 14 mula tersebar.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menafikan perkara itu dan meminta semua untuk menunggu pengumuman yang akan dibuat. – 17 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sirih pulang ke gagang

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan