Pangsapuri tiga tingkat di Kent terbakar


Sebanyak 15 jentera bomba dikejarkan untuk memadamkan kebakaran di pangsapuri tiga tingkat di Holborough Lakes, Kent termasuk dua jentera tinggi dan unit pengurusan air. – Gambar Independent, 17 September, 2017.

SATU blok pangsapuri tiga tingkat di Kent, United Kingdom terbakar awal pagi tadi, kira-kira tiga bulan selepas tragedi kebakaran Grenfell Tower yang mengorbankan lebih 70 penghuni, lapor portal berita Independent.

Lebih 100 anggota bomba dan penyelamat dikejarkan untuk memadamkan api serta membantu penghuni mengosongkan rumah masing-masing.

Pada Ramadan lalu, media melaporkan 79 terbunuh atau hilang atau dianggap terbunuh susulan kebakaran dahsyat yang melanda Grenfell Tower, sebuah blok apartmen di London.

Setakat ini, perkhidmatan kecemasan berkata tiada mangsa yang maut atau mengalami kecederaan serius dalam kebakaran di Kent.

Menurut Independent, walaupun bangunan pangsapuri di bandar Snodland itu hanya tiga tingkat berbanding Grenfell Tower yang setinggi 27 tingkat, bahagian luar bangunan itu dan penebat digunakan di kebanyakan bangunan tinggi di situ masih tidak memenuhi ujian keselamatan kerajaan.

Jurucakap bomba berkata sebanyak 15 jentera dikejarkan untuk memadamkan kebakaran di pangsapuri di Holborough Lakes itu, termasuk dua jentera tinggi dan unit pengurusan air.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.

Seorang saksi, Andrew Holt yang berada di kawasan itu berkata asap tebal kelihatan daripada jarak lebih 1km dari tempat kejadian.

Jurucakap hospital berkata dua penghuni dirawat kerana terhidu asap, bukannya akibat terbakar.

“Seorang lelaki mengalami sakit dada dan dibawa ke Hospital Maidstone untuk rawatan lanjut, tetapi ia tidak serius,” katanya. – 17 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen