Kebakaran tahfiz disiasat kes bunuh, suspek 11 hingga 18 tahun


Noor Azam Shairi

Amar Singh berkata tujuh remaja terbabit direman bermula hari ini untuk membantu siasatan berhubung tragedi yang meragut 23 nyawa itu.– Gambar The Malaysian Insight, 16 September, 2017.

KES kebakaran pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat awal pagi Khamis lalu kini disiasat sebagai kes bunuh, kata polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh berkata tujuh suspek ditahan reman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat, dan Seksyen 435 akta yang sama kerana khianat menggunakan api.

Ketujuh-tujuh suspek berumur antara 11 hingga 18 tahun dan tinggal di sekitar kawasan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah itu. Kesemua mereka tidak bersekolah, kata polis.

“Kami menganggap kes ini sudah diselesaikan,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat kontinjen polis Kuala Lumpur lewat petang tadi.

“Niat utama suspek adalah untuk membakar pusat tahfiz berkenaan.”

Amar bagaimanapun menjelaskan pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur masih meneruskan siasatan terhadap pengusaha pusat tahfiz itu kerana gagal memastikan keselamatan bangunan.

FOTO PENGEBUMIAN MANGSA TAHFIZ TERBAKAR

Menurut Amar semua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 22 September bagi membantu polis melengkapkan siasatan sebelum laporannya diserah kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Pada sidang media itu, Amar memberitahu semua suspek ditahan antara pukul 6 petang Jumaat, kira-kira 36 jam selepas kejadian, dengan suspek terakhir ditahan pada awal pagi Sabtu.

Dua daripada suspek mempunyai rekod lampau jenayah, katanya, melibatkan Seksyen 148 dan Seksyen 379A Kanun Kesiksaan iaitu bersabit gaduh dan curi.

Enam daripada suspek didapati positif ganja, tambahnya.

Polis turut mengesahkan laporan media sebelum ini mengenai kewujudan tong gas di luar bilik asrama yang terbakar itu. Menurut Amar, tong gas itu dibawa naik dari tingkat bawah.

Polis juga katanya menemui kewujudan bahan bakar yang digunakan untuk mempercepatkan api tersebar. Ia bagaimanapun sedang diuji di makmal kimia.

“Itu sebab kita rampas barang-barang milik suspek,” katanya, merujuk kepada rampasan berupa lima helai baju dan seluar, empat topi keledar dan tiga motosikal yang digunakan oleh suspek semasa melakukan perbuatan itu bagi menyiasat kehadiran bahan kimia berkenaan. Polis turut merampas tiga telefon genggam yang ada pada suspek. 

Menurut Amar, kejadian dipercayai bermula daripada perselisihan faham setelah berlaku ejek-mengejek antara suspek dan pelajar tahfiz itu beberapa hari sebelum pusat tahfiz berkenaan dibakar. Siasatan bagaimanapun masih dijalankan.

“Tapi saya tidak boleh beritahu lanjut kerana tidak mahu ganggu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Amar mengesahkan salah seorang suspek yang ditahan adalah individu yang ternampak kelibatnya dalam satu rakaman CCTV milik Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang pejabatnya terletak bersebelahan dengan pusat tahfiz itu.

Ditanya oleh wartawan betulkah suspek, semasa merancang kejadian, ada membuat percubaan menyalakan api dengan gas di sebuah padang berdekatan, Amar bertanya semula: “Mana dapat maklumat ini?”

Amar kemudian menasihati orang ramai untuk tidak percaya maklumat yang tersebar melalui media sosial sejak awal hari ini.

“Itu sebab saya adakan sidang media hari ini juga kerana ingin menerangkan perkara sebenar dan mengelak orang ramai membuat spekulasi,” katanya.

Dalam kejadian menjelang Subuh Khamis lalu, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.41 pagi mengenai sebuah kebakaran di pusat tahfiz itu. Bomba tiba tiga minit kemudian. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam masa satu jam namun 23 nyawa yang terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz itu maut, dengan kebanyakannya ditemui rentung.

Semua jenazah mangsa selamat dikebumikan pada Jumaat malam di 11 tanah perkuburan di sekitar Lembah Klang, dengan tiga daripadanya dikebumi di kampung halaman di Seremban, Negeri Sembilan; Sungkai, Perak dan Pengkalan Kubor, Kelantan. – 16 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen