Penyiasat Bukit Aman lawat premis sekolah tahfiz terbakar


Muzliza Mustafa

Sepasukan pengawai polis dari Bukit Aman, Kuala Lumpur dilihat di premis pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat. – Gambar The Malaysian Insight, 16 September, 2017.

SEPASUKAN pegawai dari ibu pejabat polis Persekutuan di Bukit Aman melawat Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hari ini sebagai sebahagian daripada siasatan lanjut berhubung tragedi pada Khamis yang mengorbankan 23 nyawa.

Siasatan awal sedang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur sebagaimana dimaklumkan ketuanya Khirudin Drahman sebelum ini mengatakan kebakaran itu mungkin disebabkan oleh perbuatan khianat, berdasarkan kemarakan api dan kecepatan ia merebak.

Tengah hari tadi, pasukan dari Bukit Aman tiba di sekolah yang terletak di Jalan Datuk Keramat dan mengambil masa memeriksa bangunan dan persekitarannya, termasuk bahagian belakang pusat itu.

Beberapa pegawai dilihat mengambil gambar bangunan dan juga tasik yang terletak di belakangnya.

Polis Kuala Lumpur dijangka mengadakan sidang akhbar mengenai siasatan esok.

Sementara itu, pelawat yang berada di kawasan itu menghalang jalan raya apabila ada yang menghentikan kenderaan untuk mengambil gambar bangunan tahfiz.

“Saya hanya datang ke sini untuk melihat sekolah. Hanya mahu melihat lebih dekat apa yang ada,” kata seorang pelawat.

Beberapa wakil pihak sekolah dilihat berada di depan bangunan, bercakap dengan orang awam yang berhenti untuk melihat tempat terjadinya tragedi tersebut.

“Mereka ingin tahu. Bertanya banyak soalan. Banyak maklumat salah tersebar mengenai kejadian ini,” kata seorang wakil sekolah yang enggan memberikan namanya.

“Ramai juga menawarkan menawarkan sumbangan wang tunai walaupun pihak pusat tidak berniat untuk meminta derma.”

Kebakaran berlaku awal pagi Khamis dan melibatkan tingkat dua di mana asrama pusat terletak.

Beberapa saksi memberitahu penyiasat para pelajar terperangkap kerana mereka tidak dapat membuka jeriji tingkap dan boleh didengar berteriak untuk mendapatkan bantuan.

Mangsa adalah 21 murid berusia 11 hingga 17 tahun dan dua orang guru.

Ketua Polis Negara Mohd Fuzi Harun berkata, semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung berkaitan dengan kebakaran itu akan disoal.

“Bukan sahaja pemilik, tetapi guru, pelajar yang selamat daripada kebakaran, termasuk 38 orang yang berada di hospital, kami akan menyiasat mereka semua,” katanya sebelum mengesahkan seorang lelaki ditahan untuk disoal siasat berkaitan kes itu.

Sehingga kini, kes itu masih diklasifikasikan sebagai kematian secara tiba-tiba. – 16 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen