Polis tahan seorang individu, tunggu laporan forensik kebakaran sekolah tahfiz


Muzliza Mustafa

Mohamad Fuzi Harun berkata, polis masih belum dapat mengesahkan sama ada kebakaran itu berpunca daripada perbuatan jenayah. – Gambar PDRM, 15 September, 2017.

POLIS menahan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur yang meragut 23 nyawa, pada Khamis.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata, bagaimanapun pihaknya masih belum dapat mengesahkan sama ada kebakaran itu berpunca daripada perbuatan jenayah dan masih menunggu laporan forensik untuk membantu siasatan.

“Setakat ini kami masih tidak pasti. Kami melihat dari semua sudut berhubung isu ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada lawatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhamad V malam ini.

Beliau turut menggesa kepada masyarakat awam untuk memberi masa kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Beri kami masa, kami perlukan laporan forensik dan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.

Harian Metro melaporkan, polis membawa seorang individu ke lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

Polis sebelum ini bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya berhubung perkara itu.

Polis turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada bangunan bersebelahan pusat tahfiz terbabit berikutan terdapat maklumat beberapa individu mencurigakan dilihat berlegar di hadapan pusat tahfiz itu kira-kira jam 7 malam Rabu.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini mendedahkan terdapat beberapa individu mencurigakan dilihat berlegar-legar di kawasan premis bersebelahan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sebelum kejadian itu.

Ini berdasarkan rakaman CCTV daripada pejabat PPIM yang terletak bersebelahan pusat tahfiz terbabit.

Bagaimanapun, PPIM berkata sukar untuk menguraikan rakaman berkenaan kerana ia di kawasan perumahan, motif individu yang berlegar itu tidak jelas. – 15 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen