Cucu saudara YDP Sarawak ditahan kerana didakwa hina PM


Bede Hong

Abdul Aziz Isa yang juga pembantu khas kepada ketua DAP Sarawak Ching Chieng Jen ditahan kerana didakwa menghina Perdana Menteri Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight, 16 September, 2017.

POLIS menahan cucu saudara kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Taib Mahmud kerada didakwa menghina Perdana Menteri Najib Razak berhubung lawatan ke White House.

Waran tangkap terhadap Abdul Aziz Isa, yang juga pembantu khas kepada ketua DAP Sarawak Ching Chieng Jen dikeluarkan kira-kira jam 3 petang hari ini. 

Aziz yang juga calon DAP Batu Kitang pada pilihan raya negeri lalu, muncul di Ibu Pejabat Polis Kuching pada jam 3.45 petang.

Chong ialah peguamnya.

Polis kini menyiasat posting di laman Facebook yang dimuat naik oleh Aziz, yang mana ia menyebut “Razak”.

Ketika berita ini ditulis, posting berkenaan telah dipadam.

“Malaysia ialah negara yang bebas. Polis tidak sepatutnya campur tangan dalam komen politik seperti itu,” kata Chong ketika dihubungi.

“Individu yang merasakan diri mereka difitnah boleh kem mahkamah sebagai plaintif,” katanya.

Najib pulang ke Kuala Lumpur malam tadi selepas mengadakan lawatan kerja lima hari yang membawanya ke Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Ketibaan perdana menteri itu disambut ratusan penyokongnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di mana beliau turut mengecam pengkritik lawatan kerjanya itu terutamanya Dr Mahathir Mohamad.

Abdul Aziz, 28 merupakan satu-satunya calon Melayu DAP pada pilihan raya negeri tahun lalu.

Dalam pilihan raya itu, dia tewas dengan 1,886 undi kepada calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak Lo Khere Chiang dalam pertandingan beberapa penjuru yang turut melibatkan wakil PKR Voon Shuak Ni yang hilang deposit.

Aziz dijadualkan bercakap pada ceramah Pakatan Harapan malam ini di Batu Kawah, Kuching.

Sementara itu, Dr Kelvin Yii yang juga pembantu khas kepada Chong turut mengkritik tindakan penahanan yang dibuat.

“Paksaan yang dibuat ke atasnya dengan penahanan itu adalah satu penindasan,” kata Yii kepada pemberita.

Aziz memberikan kerjasama ketika menerima waran. Dia secara sukarela ke balai polis. Sebaik sahaja berada di sana, dia terus ditahan dan didakwa,” katanya.

Aziz didakwa kerana menghina dan mesej provokasi di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Seksyen ini ditulis dengan tidak jelas dan digunakan banyak kali untuk menindas perbezaan pendapat dengan kerajaan, terutamanya Seksyen 233,” kata Yii.

“Ia digunakan terhadap orang yang mengkritik 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan ia juga digunakan terhadap portal berita (The Malaysian Insider) yang didakwa di bawah seksyen ini.

“Jadi, mereka gunakan seksyen yang tidak jelas untuk melanggar kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 10 (1).

“Ia menunjukkan satu tindakan penindasan. Sebagaimana kerajaan mempunyai hak untuk menetapkan syarat-syarat kebebasan asas, ia mesti berpatutan dan bersesuaian, ” katanya. – 16 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen