Zahid sukar kembali pimpin Umno, kata penganalisis


SM Amin

Penganalisis berpendapat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan 47 kes di mahkamah, akan sukar untuk kembali menerajui Umno selepas Barisan Nasional menang tiga pilihan raya kecil berturut-turut di bawah teraju timbalannya, Mohamad Hasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2019.

AHMAD Zahid Hamidi, yang kini berdepan 47 kes di mahkamah, akan sukar untuk kembali menerajui Umno selepas Barisan Nasional (BN) menang tiga pilihan raya kecil (PRK) berturut-turut di bawah teraju timbalannya Mohamad Hasan, kata penganalisis politik.

Mohamad, yang sejak Disember lalu menjalankan tugas memimpin Umno dan BN selepas Zahid bercuti, sudah menunjukkan daya kepimpinan untuk membawa parti kembali bangkit selepas kalah pilihan raya umum hampir setahun lalu, kata pensyarah politik Ahmad Atory Hussain.

“Zahid masih lagi dalam proses pendakwaan di mahkamah. Selagi perkara ini tidak selesai, sukar untuk Zahid kembali dalam tempoh sekarang ini. 

“Kes ini dijangka akan berlarutan sehingga pilihan raya umum akan datang dan kita boleh andaikan Mohamad akan terus menerajui Umno,” kata pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) itu kepada The Malaysian Insight.

Zahid menghadapi 47 pertuduhan jenayah melibatkan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang didakwa dilakukan semasa beliau memegang jawatan dalam kerajaan Najib Razak.

Beliau mengumumkan bercuti dari jawatan presiden Umno pada 18 Disember lalu ketika tekanan memuncak dalam kalangan ahli parti mendesak beliau letak jawatan. Desakan itu timbul setelah kepimpinannya dianggap tiada hala tuju sehingga menyebabkan wakil rakyat Umno keluar parti. 

Sekitar tempoh itu juga, Umno di Sabah lumpuh selepas pemimpin dan ahlinya keluar beramai-ramai sementara BN tinggal hanya tiga parti selepas parti-parti komponennya juga keluar.

Sebulan selepas Mohamad memangku tugas Zahid, BN menang PRK Cameron Highlands dan kemudian menang dua lagi PRK berikutnya di Semenyih dan Rantau, yang ditandingi sendiri oleh bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

Mohamad Hasan yang sejak Disember lalu menjalankan tugas memimpin Umno dan BN selepas Zahid bercuti, sudah menunjukkan daya kepimpinan untuk membawa parti kembali bangkit selepas kalah pilihan raya umum hampir setahun lalu, kata pensyarah politik Ahmad Atory Hussain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2019.

“Sejak Mohamad ambil alih, sudah ada kesan domino bermula di Cameron Highlands, Semenyih dan terbaru di Rantau. Bukan sahaja Melayu, sokongan daripada masyarakat lain juga sudah dilhat kembali (kepada BN) termasuk golongan muda dan kaum Cina,” tambah Atory.

Atas kejayaan dan sokongan yang diterima Umno dan BN sekarang, ahli dan pemimpin parti juga merasakan Mohamad perlu terus diberikan peranan memimpin parti sehingga pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Noran Zamini Jamaluddin.

“Hampir semua negeri yang saya jelajah, akar umbi memang mengharapkan Mat Hasan (Mohamad) terus menerajui. Saya boleh sahkan. Mereka kata Zahid dan Mat Hasan carilah satu titik persamaan terbaik. 

“Kita harap kepimpinan atasan kita mengikut dan mendengar pandangan ahli dan rakyat di bawah,” katanya, sambil mengingatkan kesan Umno dan BN kalah semasa PRU14 dulu antaranya kerana tidak peka pada arus suara di bawah.

“Kepimpinan atasan perlu mengambil ikhtibar apa yang telah berlaku sebelum ini,” katanya.

Menurut Noran, setahu beliau pandangan yang mahukan Mohamad terus menerajui Umno dan BN hanya terdengar di peringkat akar umbi tetapi tidak dibincangkan di peringkat atasan parti.

“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk membincangkan soal sama ada Zahid perlu kembali atau tidak,” katanya.

“Ini perkara yang positif kerana semua fokus kepada penyatuan ummah Umno dan PAS,” katanya, merujuk kerjasama lebih formal dua parti yang lama bersaing itu yang diputuskan awal bulan lalu.

Bagaimanapun Noran mengingatkan sekiranya Mohamad dipersetujui untuk terus menerajui Umno, parti dan pimpinan tidak harus meminggirkan Zahid.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman mengingatkan ahli-ahli Umno supaya jangan terheret ke dalam krisis kepimpinan dengan mendesak Zahid berundur dari jawatan presiden.

“Jangan timbulkan masalah, apa yang mereka hendak? Keadaan Umno sekarang sudah elok, jadi kita jangan timbulkan masalah bawa isu itu isu ini, singkir sana sini. 

“Zahid biarkan kekal sebagai presiden sehingga habis tempohnya. Kita kena hormat. Buat apa hendak ada undi tidak percaya, tolak dia. Apa faedahnya?

“Sekarang ahli Umno boleh terima dia bercuti, Tok Mat menjalankan tugas-tugas presiden. Mana boleh hendak lantik Tok Mat jadi presiden, kena tunggu pemilihan akan datanglah. Ini semua hendak merosakkan parti,” katanya.

Zahid dan barisan pimpinan Umno sekarang mempunyai mandat memimpin parti sehingga 2021. – 26 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen