Penduduk Bentong mahukan stesen ECRL


Andrew Chin

Pekan Bentong perlukan katalis pembangunan, penduduk harapkan ECRL tetapi ia kini dibatalkan, meninggalkan pekan kecil itu terus terpinggir dalam pembangunan walaupun berhampiran Lembah Klang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2019.

WALAUPUN lokasinya berhampiran Lembah Klang, penduduk Bentong percaya stesen Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang pada awalnya akan dibina di situ boleh membawa manfaat kepada pekan mereka.

Hentian projek mega di daerah terkenal dengan ladang durian dan eko pelancongan itu akan membawa pembangunan, kata mereka. Ia juga diperlukan kerana infrastruktur usang dan jalan sempit di pekan itu sekarang tidak lagi mampu menampung jumlah kenderaan darat yang semakin meningkat.

Malah, ketika musim perayaan, jalan di pusat pekan sangat sesak, kata mereka lagi.

Maka, penduduk Bentong berharap Putrajaya akan menyemak semula keputusan untuk memansuhkan pembinaan stesen ECRL di kawasan itu.

Shafie Ismail, 55, berkata ECRL tidak lagi bermakna kepada penduduk Bentong sekarang kerana stesen yang awalnya dirancang di pekan mereka sudah dibatalkan.

“ECRL patutnya membawa pembangunan kepada Pantai Timur. Saya tak faham apa kaitan ECRL dengan Seremban. Kenapa hapuskan stesen Bentong dan alihkan jajaran ke Seremban? Pantai Timur lagi ke?” katanya merujuk kepada jajaran baharu yang dipersetujui Putrajaya dan Beijing.

Jajaran baharu itu bagaimanapun tidak melibatkan hentian di Seremban, tetapi di Jelebu dan Kuala Kelawang, yang berada dalam Negeri Sembilan.

Peniaga daging bakar Low Guan Meng, 44, juga meluahkan kekecewaan dengan pembatalan itu, berkata stesen Bentong akan membawa masuk lebih banyak peluang perniagaan dan pelancong ke dalam bandar itu.

“Bila ECRL dirancang, ramai rakyat China yang datang untuk makan di Bentong dan kedai makan dan minum untung agak banyak, tetapi selepas digantung, (untung) perniagaan saya jatuh antara 20% hingga 30%,” kata Low.

Penduduk Bentong mengharapkan Pakatan Harapan di Putrajaya menyemak semula keputusan membatalkan pembinaan stesen ECRL di di kawasan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2019.

Katanya, Bentong adalah pekan kecil dengan jalan sempit yang tak mampu menampung banyak kenderaan, dan stesen ECRL diharapkan dapat membawa lebih ramai orang ke kawasan itu.

“Bila musim perayaan, terutama Hari Raya atau Tahun Baru Cina, berlaku kesesakan teruk di pusat pekan kerana jalan sempit dan tak boleh tampung banyak kereta. Jadi, dengan pembangunan pengangkutan awam, ia akan bawa lebih ramai orang ke Bentong,” katanya.

Rundingan semula ECRL diumumkan Putrajaya baru-baru ini mengurangkan kos pembinaan daripada RM65.5 bilion kepada RM44 bilion untuk fasa 1 dan 2. Dalam usaha mengurangkan kos, ia juga memendekkan jarak sebanyak 40km dan tidak lagi mempunyai terowong bawah tanah.

Landasan itu akan menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Kota Bharu, Kelantan. Perjalanan akan mengambil masa kurang lima jam dengan gerabak penumpang berkelajuan 160kph. Terdapat juga perkhidmatan kargo.

Jajaran baharu tidak lagi melalui Bentong, tetapi menerusi Mentakab di Pahang.

Seorang peniaga telefon bimbit dan aksesori yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, bagaimanapun merasakan Bentong tidak rugi banyak.

Ini adalah kerana pekan itu hanya sejam perjalanan darat dari Kuala Lumpur, dan kebanyakan penduduk Bentong juga memilih untuk memandu.

“Kebanyakan pelancong tempatan yang melawat Bentong memandu sendiri, dan mereka biasanya hanya datang sehari. Pelancong asing pun tak guna pengangkutan awam, sebab mereka selalunya tiba dengan bas pelancongan,” kata Chan.

Tetapi, Samshudin Salleh, 38, berkata apa sahaja pembangunan walaupun skala kecil akan membantu Bentong.

“Walaupun mungkin stesen tak bawa pembangunan banyak, tetapi ia tetap bawa pembangunan, jadi lebih baik kekalkan stesen itu,” katanya.

Ditanya sekiranya beliau kecewa dengan pembatalan itu, Suhaimi berkata: “Inshallah, mungkin kerajaan akan U-turn sekali lagi?”

Beliau merujuk kepada beberapa perubahan keputusan dilakukan Pakatan Harapan sebelum ini, termasuklah:

* Pembatalan ratifikasi Statut Rome. Putrajaya memutuskan untuk menarik diri selepas timbul kekeliruan mengenainya dalam negara.

*Pembatalan ratifikasi ICERD selepas wujud tentangan kumpulan tertentu yang bimbang ia menjejaskan hak istimewa Melayu.

*Pelantikan ahli politik sebagai ahli lembaga pengarah Yayasan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

*Penggantungan skim bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sepatutnya berkuatkuasa pada 1 Januari lepas.

*Mengekalkan hukuman mati untuk kesalahan tertentu. Pengumuman Putrajaya untuk hanya memansuhkan hukuman mati untuk 11 kesalahan berlainan daripada keputusan Kabinet pada Oktober 2018 dan melanggar manifesto PH. – 18 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen