KABINET masih belum menetapkan syarat agar Lynas Corp Ltd membawa sisa dari loji syarikat itu di Gebeng, Kuantan, keluar dari Malaysia, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet dan keputusan rasmi akan dibuat dalam mesyuarat berkenaan.
“Kita akan bawa ke Kabinet, mungkin akan ada perbezaan (pendapat), tetapi itu normal, namun apa yang diputuskan Kabinet adalah keputusan rasmi,” kata Dr Mahathir kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.
Beliau menjelaskan demikian ekoran pendirian bertentangan yang disuarakan menteri Kabinet dalam isu tersebut.
Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof semalam berkata Kabinet tidak menetapkan Lynas perlu menghantar sisa nadir bumi berkenaan ke Australia.
Beliau dilaporkan menangkis kenyataan Menteri Tenaga Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin yang menyebut sebaliknya.
Menurutnya, Kabinet juga tidak boleh memaksa syarikat itu mengeksport keluar sisa nadir bumi terbabit ke Australia kecuali “ia benar-benar tidak selamat”.
Redzuan juga menegaskan kerajaan tidak akan menutup kilang Lynas atas sebab nilai pelaburan yang dibawa syarikat itu.
Yeo pula berpendirian syarikat itu hanya boleh memperbaharui lesen sekiranya menghantar balik sisa tersebut ke Australia.
Seorang lagi ahli Kabinet, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh menyokong pendirian Yeo dan menegaskan Lynas tidak patut memperbaharui lesen jika tidak mematuhi syarat itu.
Katanya, Redzuan juga tiada kuasa ke atas isu Lynas kerana ia di luar bidang kementerian pembangunan usahawan.
Fuziah yang juga ahli Parlimen Kuantan merupakan antara pelobi utama yang menggerakkan kempen Himpunan Hijau bagi membantah operasi memproses nadir bumi oleh Lynas. – 2 April, 2019.
Komen