PUTRAJAYA tidak membelakangkan pentadbiran kerajaan Johor dalam projek membina hab kapal ke kapal (STS) terbesar dunia yang akan dibangunkan di negeri itu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau juga menafikan projek itu dilaksanakan kerana syarikat berkenaan adalah kroninya.
“Semua orang di Malaysia ini kroni saya, pasal saya bekerja untuk semua orang termasuk orang Johorlah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan sesi menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara syarikat operator STS berkenaan, KA Petra Sdn Bhd dengan Hutchison Port Holdings Ltd di Putrajaya.
“Saya juga nak tahu sama ada kerajaan Johor akan menolak projek ini, sebab setakat ini mereka tidak menolaknya,” tambahnya.
Menurut Dr Mahathir, projek berkenaan akan menguntungkan kerajaan dan merasakan tiada pihak yang merugikan negara dengan memihak kepada pihak lain.
“Tak tahulah, saya fikir semua orang pun tahu (projek) ini satu projek yang akan menguntungkan Malaysia, saya tidak fikir ada orang yang nak rugikan Malaysia dengan memihak kepada orang lain,” kata Dr Mahathir.
__full.jpg)
Perdana menteri mengulas dakwaan Gerakan Muafakat Johor yang mendakwa Putrajaya membelakangkan pentadbiran Johor, dan mementingkan kroni berhubung pembinaan projek berkenaan.
Dakwaan badan itu kemudian dikongsi oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Facebook semalam.
Menurut perdana menteri beliau tidak perlu memaklumkan kepada setiap pihak berhubung pembinaan projek yang akan menguntungkan kerajaan.
Beliau mengakui pada peringkat awal projek berkenaan ingin dimulakan, ia menerima bantahan negara jiran Singapura berhubung isu sempadan perairan.
Isu itu bagaimanapun berjaya diselesaikan selepas kerajaan menegaskan projek hab STS itu berada dalam perairan negara, katanya.
“Projek ini sudah dibincangkan lama dahulu, ada masalah dengan Singapura bila mereka kata kita ceroboh, kita tidak ceroboh, kita berada dalam perairan kita, dan ini semua orang tahu.
“Kalau ada orang tak tahu, takkan saya perlu tanya setiap orang satu persatu sama ada mereka tahu (berkenaan projek) ini atau tidak,” kata Dr Mahathir lagi.
Beliau turut hairan sekiranya Tunku Mahkota Johor tidak mengetahui berhubung projek tersebut.
“Dia dalam Johor, banyak orang Johor tahu, dia tak tahu, saya hairan, dia tahu banyak perkara tapi ini dia tak tahu,” kata Dr Mahathir. – 2 April, 2019.
Komen