Projek Putrajaya bina hab kapal di Johor tarik perhatian TMJ 


Gerakan Muafakat Johor mendakwa projek itu yang disebut sebagai hab perkapalan terbesar dunia, dirancang tanpa pengetahuan kerajaan Johor dan menerima 'layanan khas'. – Gambar EPA, 1 April, 2019.

PELAN Putrajaya untuk membina sebuah hab pemindahan kapal ke kapal di pelabuhan Johor Bahru yang didakwa tidak melalui rundingan dengan kerajaan negeri, mengundang perhatian beberapa pihak termasuk Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Mahkota Johor itu dalam laman Facebooknya, berkongsikan gambar kad jemput majlis menandatangani perjanjian projek itu yang akan diadakan di Putrajaya esok.

Selain itu beliau juga berkongsi kenyataan daripada Facebook Gerakan Muafakat Johor dengan tajuk ‘Kroni Putrajaya ‘bulldoze’ (menolak)  bidang kuasa kerajaan negeri Johor’.

Kad jemputan itu menyebut kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Saifudin Nasution Ismail sebagai tetamu kehormat majlis itu.

Malah kad itu menyatakan majlis menandatangani perjanjian melibatkan syarikat Malaysia, KA Petra Sdn Bhd dengan Hutchison Port Holdings Limited dari Hong Kong.

Gerakan Muafakat Johor mendakwa projek itu yang disebut sebagai hab perkapalan terbesar dunia, dirancang tanpa pengetahuan kerajaan Johor dan menerima ‘layanan khas’.

“Hasil siasatan pihak kami mendapati usahasama ini mendapat layanan istimewa dari pihak persekutuan kerana ia dipercayai melibatkan kroni pemimpin tertentu di Putrajaya.”

Gerakan itu juga menuduh Putrajaya melancarkan serangan ekonomi terhadap negeri itu dengan mengenepikan ahli perniagaan tempatan daripada projek itu semata-mata menguntungkan pihak kroni mereka.

Difahamkan, Loke enggan mengesahkan kehadirannya ke majlis itu esok.

“Anda boleh tanya soalan esok. Perdana menteri akan hadir pada majlis itu,” katanya dipetik Malaysiakini. – 1 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen