ISU pertukaran jawatan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bukan isu kompleks dan boleh diselesaikan segera dengan perbincangan sahaja, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Katanya, isu itu boleh selesai dengan perbincangan antara pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan wakil pembangkang dan kerajaan.
“Kalau boleh selesai seminggu, selesaikan. Saya tak rasa ini isu besar. Kita duduk dan berbincang. Ia bukan isu kompleks, tak perlukan berbilion ringgit,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen, hari ini.
“Ia hanya perlukan keputusan pantas,” tambahnya.
Tegas Anwar, manifesto Pakatan Harapan mengenai hal itu jelas dan tidak kabur iaitu jawatan pengerusi PAC dipegang ahli parlimen pembangkang.
“Kita harus cari jalan bagaimana boleh selesaikan dengan baik, tugas speaker tanya pandangan perdana menteri,” kata Anwar lagi, mengulangi pandangan bahawa isu itu boleh diselesaikan dengan mudah.
Jelas Anwar, sekiranya Pakatan Harapan merasakan perlu memberikan sesuatu kedudukan kepada pengerusi PAC sekarang, Ronald Kiandee, kedudukan itu boleh ditentukan kemudian.
Kedudukan Kiandee jadi isu selepas beliau yang dilantik mengetuai jawatankuasa itu semasa mewakili Barisan Nasional keluar Umno dan sekarang menyertai Bersatu.
Sabtu lalu, Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dilaporkan letak jawatan anggota PAC sebagai membantah keputusan kerajaan tidak menggantikan Kiandee.
Lapan anggota PAC dari PH juga minggu lalu menulis surat kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad merakamkan rasa kurang senang mereka dengan keputusan kerajaan mahu mengekalkan Kiandee sebagai pengerusi jawatankuasa itu.
Dr Mahathir dalam reaksinya Ahad lalu berkata kerajaan komited mahu mengotakan janji pilihan raya bahawa wakil rakyat pembangkang akan mengetuai PAC, tetapi Kiandee kekal sementara penggantinya dicari.
Semalam, tiga anggota PAC dari BN dan PAS turut letak jawatan. Mereka ialah Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Ahmad Hamzah (BN-Jasin) dan Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu).
Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob berkata mereka letak jawatan kerana kerajaan dilihat gagal memenuhi janji manifestonya selepas BN memberi notis cadangan supaya Noraini dilantik menggantikan Kiandee. – 26 Mac, 2019.
Komen