RONALD Kiandee kekal sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sehingga penggantinya dikenal pasti, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, kerajaan komited mahu mengotakan janji pilihan raya Pakatan Harapan iaitu melantik ahli Parlimen pembangkang untuk mengetuai jawatankuasa itu.
“Tetapi buat masa ini beliau kekal sebagai pengerusi PAC,” katanya dipetik dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Sayangi Sawitku di Pulau Carey, Selangor, hari ini.
“Ini bukan perkara undang-undang. Ini janji parti. Kita, Pakatan Harapan, boleh laksanakan bila-bila masa,” katanya.
Semalam, anggota PAC Wong Chen yang juga Ahli Parlimen Subang dari PH berkata lapan ahli PAC sudah menulis surat kepada Dr Mahathir merakamkan rasa kurang senang mereka dengan keputusan kerajaan mahu mengekalkan Kiandee sebagai pengerusi jawatankuasa itu.
Semalam juga Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar disahkan letak jawatan daripada PAC sebagai membantah kedudukan Kiandee kekal mempengerusikan PAC, yang bertentangan dengan manifesto PH semasa PRU14.
Beberapa pemimpin PH juga sebelum ini menyuarakan pandangan mahu kerajaan berpegang pada janji pilihan raya berkenaan, antaranya Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mencadangkan agar PH membincangkan semula keputusan mengekalkan Kiandee.
Kiandee dilantik semasa beliau masih dalam Umno. Beliau keluar Umno pada pertengahan Disember lalu dan diterima menyertai Bersatu bulan lepas.
Dengan perletakan jawatan Nurul Izzah, PAC kini mempunyai 13 anggota terdiri daripada sembilan ahli Parlimen dari PH, dua dari Barisan Nasional (BN) dan masing-masing seorang PAS dan PBB.– 24 Mac, 2019.
Komen