Pengusaha perabot Muar kekurangan 20,000 pekerja


Andrew Chin

Kekurangan pekerja dalam indusri pembuatan perabot meningkatkan kos pengeluaran yang memberi kesan kepada pemain industri.– Gambar Youtube, 24 Mac, 2019

KEKURANGAN pekerja dan peningkatan kos pengeluaran memberi kesan kepada sektor industri pembuatan perabot, terutamanya di kawasan utama pembuatan perabot di Muar, Johor yang boleh menyebabkan pengusaha gulung tikar.

Kekurangan tenaga kerja merupakan isu besar, dan Muar mungkin akan menerima kesan sekiranya isu ini tidak diselesaikan dalam tempoh enam bulan, kata Presiden Persatuan Pengusaha Kilang Perabot Muar, Keh Wee Kiet.

Industri berkenaan di bandar itu dikatakan kekurangan 20,000 pekerja dan industri perabot intensif buruh ini sangat bergantung kepada pekerja asing.

Keh memberitahu The Malaysian Insight bahawa kerajaan baharu kurang mengambil langkah untuk menyelesaikan isu kekurangan pekerja sejak memgambil alih pentadbiran negara Mei tahun lalu.

Muar menyumbang bahagian terbesar dari pengeluaran perabot yang dihasilkan di Malaysia-mencatatkan 60% atau RM6 bilion daripada pengeluaran tahunan negara sebanyak RM10 bilion.

“Pengeluar perlu mengehadkan pengambilan tempahan jika ini tidak dapat diselesaikan dan seterusnya ia akan menjejaskan pendapatan,” katanya.

Industri itu turut terkesan dengan kos pengeluaran yang tinggi dan keadaan ekonomi yang lembab, kata Keh.

Beliau turut merungut sekiranya tiada penyelesaian bagi masalah berkenaan, segelintir pemain industri akan berisiko untuk menutup kilang mereka.

Pengeluaran terhad, atau pengeluaran terhenti, akan mengganggu rantaian bekalan negara, dengan Muar yang menjadi pengeluar terbesar dari segi nilai pengeluaran.

Mengurangkan pengeluaran dan output akan menyebabkan kesukaran untuk mengekalkan pelanggan.

Tambah Keh, semakan semula dasar gaji minimum oleh kerajaan hanya meningkatkan kos buruh.

Gaji minimum RM1,050 memberi tekanan kepada kos operasi pengilang perabot, katanya.

Keh berkata pihaknya telah membangkitkan perkara itu untuk perhatian kerajaan dan memorandum turut dihantar kepada perdana menteri.

Kumpulan itu turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin. Bagaimanapun tiada perkembangan sejak pertemuan itu.

“Setakat ini tiada sebarang perkembangan. Kami hanya boleh menunggu.”

Sementara itu, setiausahanya Kuo Lee Chuang berkata, industri itu akan terkesan dengan ketiadaan pekerja asing, terutamanya dari Bangladesh.

Beliau menyedari bahawa pekerja asing dari Bangladesh mampu memenuhi keperluan kemahiran yang diperlukan dalam industri perabot. – 24 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen