Rakyat Malaysia mangsa tembakan di Christchurch selamat dibedah


Adun Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz berada di Christchurch bersama exco kebajikan Pulau Pinang Phee Boon Poh untuk melawat mangsa insiden tembakan di dua masjid baru-baru ini. – Gambar Facebook, 18 Mac, 2019.

DUA rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden tembakan di masjid di Christchurch selamat menjalani pembedahan sementara seorang lagi sedang menunggu untuk dibedah.

Adun Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz, yang berada di Christchurch bersama exco kebajikan Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata di Facebook hari ini mereka melawat tiga mangsa berkenaan di hospital.

Seorang mangsa, Mohd Tarmizi Shuib, 42, dan anak perempuannya Fatin Nadhirah masih dalam keadaan tenang dan tabah walaupun masih belum ada berita tentang seorang anak lelakinya, Mohd Haziq, 17, katanya.

Haziq, 17, berada di masjid Al Noor bersama bapa dan seorang adik lelakinya ketika insiden tembakan itu berlaku. Dia masih hilang sejak kejadian itu.

“Mereka masih senyum dan sedia bercakap dengan saya. Walaupun sedang berdepan keadaan sukar tidak tahu di mana Haziq berada,” katanya.

Tarmizi masih di bawah pemantauan dan menunggu untuk menjalani satu lagi pembedahan.

Azrul berkata Mohd Nazril Hisham Omar, 46, masih dalam keadaan terkejut akibat serangan itu, dan menjalani pembedahan semalam.

“Nazril masih dipantau selepas pembedahan semalam..pada saya, dia nampak masih trauma. Saya bercakap dengan isterinya dan minta dia beri kekuatan pada Nazril,” katanya.

Nazril cedera di kaki dan bahagian belakang badannya dalam tembakan itu.

Rahimi Ahmad, 39, dari Bayan Lepas, baru saja keluar daripada pembedahan untuk mengeluarkan serpihan peluru.

Rahimi, yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang susu, sedang bersembahyag di Masjid Al Noor di Deans Avenue ketika insiden itu berlaku.

Ketika kejadian, satu lagi insiden tembakan rambang berlaku di masjid di Linwood Avenue. Setakat ini, 50 mangsa terbunuh dalam dua insiden itu.

AFP melaporkan doktor bertungkus-lumus merawat 36 mangsa yang cedera akibat tembakan dan kecederaan lain. Antara yang tercedera ialah kanak-kanak. – 18 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen