SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak mempunyai kuasa undang-undang yang sah untuk menyekat pengendali platform permainan video online, Steam, kata peguam.
Steam, pengendali platform permainan online terbesar di dunia telah disekat SKMM semalam kerana menjual permainan “Fight of Gods”. Menurut SKMM permainan itu menyinggung sensitiviti agama.
Sekatan itu bagaimanapun ditarik balik selepas syarikat itu akur untuk menghalangnya daripada dimuat turun oleh pengguna di Malaysia.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Badan Peguam Malaysia, Surendra Ananth berkata SKMM tiada kuasa untuk menyekat kandungan dalam talian.
“Mana-mana pihak berkuasa mesti mempunyai dasar perundangan untuk melaksanakan kuasanya,” kata Surendra. Tambahnya lagi, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) tidak mempunyai sebarang peruntukan yang membenarkan SKMM menyekat kandungan dalam talian.
“Ada yang berhujah bahawa Seksyen 263 (2) membenarkan SKMM menyekat kandungan. Bagaimanapun, seksyen itu hanya menyatakan yang pemegang lesen harus membantu SKMM sejauh yang munasabah diperlukan dalam menghalang arahan atau cubaan perlakuan satu kesalahan,” katanya.
“Ia tidak harus dibaca dalam cara untuk memberi kuasa kepada SKMM menyekat kandungan dalam talian. Ini akan melanggar Sekyen3(3) iaitu: ‘Tiada apa pun di dalam Akta ini boleh ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan Internet’,” kata Surendra.
Kata Surendra, SKMM tidak boleh beranggapan bahawa kandungan dalam talian menyinggung atau menghina. Penggunaan Seksyen 233(1) katanya, tidak berperlembagaan.
“Ini adalah satu sekatan kepada kebebasan bersuara. Ia bertentangan dengan demokrasi perlembagaan apabila mengatakan penghinaan adalah jenayah,” katanya.
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen berkata SKMM selama ini telah melanggar undang-undang.
“Pihak berkuasa seperti SKMM boleh buat apa saja yang mereka mahu melainkan jika mereka dicabar.
“Mereka telah menyekat pelbagai laman web seperti Sarawak Report dan The Malaysian Insider. Ini tak bermakna mereka lakukannya secara sah,” katanya.
Paulsen berkata di bawah Akta 588, SKMM tidak pernah diberikan kuasa tertentu untuk menyekat laman web.
“Tetapi mereka buat juga, sesuka hati ikut budi bicara mereka sendiri. Ini sudah tentu tidak demokratik.
“Perbuatan ini adalah penyalahgunaan kuasa yang serius dan melanggar polisi ‘tiada penapisan Internet’ yang dilindungi dibawah Akta 588 dan Rang Jaminan MSC Malaysia.
“Pihak berkuasa mesti diingatkan yang mereka tidak boleh kawal segala-galanya dan tidak boleh melayan orang dewasa di Malaysia seperti kanak-kanak.
“Adalah lebih baik jika mereka fahami realiti Internet dan dunia nyata daripada mengambil langkah yang keras yang tidak seiring dengan tuntutan demokrasi moden. Ini menyebabkan Malaysia menjadi bahan ketawa seperti pengharaman lagu ‘Despacito’ baru-baru ini,” katanya.
Pada Julai, kerajaan telah mengharamkan lagu popular berbahasa Sepanyol, ‘Despacito’ dengan alasan lirik lagu itu tidak senonoh.
Sementara itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyifatkan sekatan SKMM itu “canggung dan gagap teknologi”.
“Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Keruak menyebabkan Malaysia malu besar di peringkat global daripada kesemua lima perdana menteri dalam tempoh 60 tahun,” katanya ketika berucap dalam sesi bertemu rakyat di Malim, Melaka malam tadi.
““Selama Steam disekat, Malaysia telah disedari oleh berjuta-juta belia di dunia yang tidak pernah terfikirkan Malaysia. Malangnya, Malaysia dikenali dalam cara yang paling teruk dan memalukan.
“Sekatan ini menguatkan lagi tanggapan bahawa Malaysia sangat tidak bertoleransi dan mempunyai minda yang tertutup,” katanya. – 9 September, 2017.
Komen