Malaysia haramkan Despacito


MALAYSIA melarang stesyen penyiaran awam memainkan lagu Despacito selepas pengkritik melabelkannya sebagai tidak Islamik.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak memberitahu AFP yang kementerian menerima banyak aduan berhubung lirik lagu itu yang tular di seluruh dunia kini.

“Despacito tidak akan disiarkan di stesyen penyiaran milik kerajaan kerana kita menerima aduan orang awam. Lirik itu tidak sesuai didengar,” katanya.

Salleh berharap stesyen telivisyen dan radio swasta juga akan mengikuti langkah itu.

Despacito yang dinyanyikan penyanyi Puerto Rico, Luis Fonsi dan penyanyi rap Daddy Yanke menjadi tular sebaik sahaja ia diterbitkan Januari lalu dan mendapat sambutan meluas dunia apabila versi remixnya dinyanyikan Justin Bieber.

Lagu itu dinamakan sebagai lagu paling banyak dimuat turun di seluruh dunia juga terkenal di Malaysia.

Pihak berkuasa Malaysia beberapa kali mengharamkan lagu atau filem yang dianggap tidak sesuai dengan kehidupan masyarakat negara.

Sebelum ini, Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa kerajaan untuk mengharamkan lagu itu kerana liriknya yang “lucah”.

Atriza Umar, pengerusi sayap wanita Amanah menyifatkan musik lagu itu sebagai “lucah” dan tidak sesuai didengar kanak-kanak, memberikan amaran yang ia boleh merosakkan fabril sosial masyarakat. – AFP, 20 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen