51 dapat gelaran Tan Sri, termasuk Ketua Polis Negara


Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun antara 51 orang penerima anugerah yang membawa gelaran Tan Sri sempena sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insigt, 9 September, 2017

KETUA Polis Negara yang baharu, Mohamad Fuzi Harun dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sempena Hari Keputeraan Seri Paduka di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau adalah antara 51 orang bergelar Tan Sri mulai hari ini. Tiga menerima anugerah darjah kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) manakala 48 yang lain menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM), kedua-duanya membawa gelaran Tan Sri.

Fuzi menerima anugerah itu bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Zulkefli Ahmad Makinudin dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mengetuai senarai penerima gelaran Tan Sri.

Fuzi menggantikan Khalid Abu Bakar yang bersara selepas mencapai umur persaraan minggu lalu dan tidak disambung kontrak perkhidmatannya. Khalid kemudian dilantik oleh Perdana Menteri Najib Razak sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd yang baharu dan duta khas Malaysia dalam memerangi keganasan, fahaman pelampau dan pemerdagangan manusia.

Antara 48 yang menerima PSM termasuk  Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd Hashim Abdullah; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkifli Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Sharifah Zarah Syed Ahmad; Gabenor Bank Negara, Muhammad Ibrahim dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr Halim Shafie.

Turut menerima gelaran Tan Sri ialah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  Prof Dr Noor Azlan Ghazali dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mhd Amin Nordin Abd Aziz. — 9 September 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen