Khalid Abu Bakar yang semalam bersara daripada jawatan Ketua Polis Negara hari ini menerima dua lantikan daripada Perdana Menteri Najib Razak sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd yang baharu dan duta khas, lapor Bernama.
Pelantikan Khalid sebagai duta khas itu, menurut Najib, bertujuan meningkatkan hubungan dan kerjasama negara dengan masyarakat antarabangsa dalam usaha memerangi keganasan, fahaman pelampau dan pemerdagangan manusia.
“Ini memandangkan pengalaman luas serta hubungan baik Khalid dengan agensi antarabangsa sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara dalam menangani masalah tersebut,” katanya.
Khalid bersara wajib semalam dan diganti oleh bekas Pengarah Cawangan Khas Mohamad Fuzi Harun manakala Noor Rashid Ibrahim kekal sebagai timbalan ketua polis negara.
Khalid yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan menyertai pasukan polis sebagai inspektor pada 5 Disember, 1976.
Najib berkata pelantikan Khalid sebagai Pengerusi Prasarana bagi menggantikan Ismail Adam yang tamat tempoh pelantikan pada 31 Ogos lalu.
“Khalid akan meneruskan misi dan visi Prasarana untuk membina dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang bertaraf dunia serta peningkatan penggunaan pengangkutan awam,” katanya, seperti dipetik oleh Bernama.
Dalam pada itu, Najib bagi pihak kerajaan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ismail atas sumbangan menjayakan misi dan visi Prasarana sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Khalid yang menyambut hari jadinya hari ini dalam satu wawancara sebelum persaraannya memberitahu Bernama beliau bercadang belajar memasak di Malaysian Institute of Baking di Petaling Jaya untuk mengisi masa selepas bersara.
Antara jawatan penting yang pernah disandangnya adalah ketua polis Negeri Sembilan (2005), timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (2006) dan ketua polis Selangor (2007), pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (2010) dan timbalan ketua polis negara (2011).
Khalid dilantik sebagai ketua polis negara pada 17 Mei 2013 bagi menggantikan Ismail Omar yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak. – 5 September, 2017.
Komen