Akar umbi MCA kecewa dengan pendirian parti


Andrew Chin

MCA dilihat sudah hilang arah dan tidak mampu lagi mendapatkan kepercayaan rakyat terutamanya masyarakat Cina di Malaysia, kata pemimpin akar umbi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2019

AKAR umbi MCA kini berada dalam dilema—di satu pihak, parti itu tidak dapat membuat pembubaran Barisan Nasional dan di pihak yang lain, ia berdepan tugas getir mencari rakan kongsi yang sesuai untuk gabungan di masa depan.

Segelintir akar umbi turut kecewa dengan parti itu kerana hanya berdiam diri dengan kerjasama UMNO-PAS. 

Pengerusi MCA Selangor Ng Chok Sin berkata parti itu perlu lebih realistik dalam merangka hala tuju masa depannya. 

“Kita perlu lebih realistik. Jika MCA keluar BN, kita perlukan gabungan dengan sesebuah pihak dan yang ada hanyalah PAS. Tak mungkin PAS, bukan?

“Kita mahu tubuhkan pakatan baharu selepas BN dibubarkan, sesuatu seperti BN2.0,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

MCA mahukan pembaharuan struktur kuasa dalam BN untuk mengelakkan Umno menjadi rakan dominan, katanya. 

Ketua MCA Yong Peng Ling Tian Soon berkata, pemimpin parti perlu turun padang untuk menjelaskan kepada akar umbi mengenai situasi politik sekarang. 

“Akar umbi tahu apa yang dihadapi oleh MCA, tetapi kami mengharapkan penerangan lebih jelas,” kata Ling. 

Akr umbi juga katanya memahami keperluan untuk bersekutu dengan pihak lain tetapi buat masa ini tiada yang sesuai.

Sekiranya MCA kekal di bawah BN seperti sekarang, akar umbi tidak akan dapat menerimanya, tambah Ling. 

“Itu sebabnya pembaharuan BN dan penstrukturan kuasa dalam gabungan itu yang paling penting. Biar BN kembali kepada asas ketika MCA, Umno dan MIC adalah rakan kongsi yang sama rata.”

Majlis Tertinggi BN bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi membincangkan pembaharuan gabungan namub akar umbi MCA mahu melihat perkembangan berhubung perkara itu, katanya. 

Keputusan BN untik menolak Mohamed Nazri Aziz sebagai setiausaha agungnya adalah kerana beliau tidak menghormati MCA yang mana ia sedikit membuatkan akar umbi puas hati. 

Dalam pada itu, Gan Ping Sieu yang bertanding untuk jawatan presiden parti itu tahun lalu berkata, parti itu berada dalam kedudukan yang tidak menentu dan tidak ada perubahan.

“MCA pada mesyuarat agung tahunan terakhirnya, yang boleh menjadi titik perubahan penting, memilih untuk kekal dalam BN dan melepaskan kebebasannya sendiri.

“Dan Umno sudah pun bekerjasama dengan PAS, jadi jelaslah bahawa kekal dalam BN hanya untuk kelangsungan politik jangka pendek,” kata Gan.

Gan, yang merupakan ketua bahagian Kluang berkata, strategi politik seperti ini kelihatan menarik perhatian dari akar umbi, namun ada di antaranya tidak memahami mengapa parti itu terus menanggung penghinaan itu.

Apa yang lebih teruk katanya, MCA tidak mampu lagi mendapatkan kepercayaan rakyat terutamanya masyarakat Cina di Malaysia. 

“Jangan sesekali kita lupa bahawa, pada masa lalu, MCA, termasuk saya, menentang keras PAS menjadi parti kebangsaan. Sekarang, kita sebaliknya memilih untuk bekerjasama dengan Umno, yang sudah bekerjasama dengan PAS.

“Ini bertentangan dengan prinsip asas semangat parti kita,” kata Gan. 

Sementara itu, veteran MCA Yap Pian Hon berkata ketidakpastian kepimpinan untuk keluar meninggalkan BN hanya mendorong MCA untuk jatuh lebih teruk.

“Saya rasa parti perlu bergantung pada diri sendiri dan tidak bergantung kepada pihak lain. Tiada kebajikan dalam politik. Parti perlu berdiri atas kaki sendiri dan tiada siapa yang boleh bantu kita untuk melakukannya,” katanya. 

MCA yang masih teragak-agak untuk meninggalkan BN turut menjejaskan kredibilitinya, menambahkan lagi kekeliruan akar umbi berhubung hala tuju parti, kata Yap. 

Sekiranya parti itu tiada pendirian yang teguh katanya, satu-satunya jalan yang ada untuk parti ialah kejatuhan. 

Ditanya sama ada parti itu memilih untuk pembubaran BN dan meninggalkan gabungan itu kerana faedah kewangan, Yap berkata tidak ada keuntungan kewangan untuk kekal dalam gabungan itu.

MCA hanya memiliki kepimpinan yang lemah, matlamat politik yang singkat, kekurangan arah dan strategi politik yang jelas dan kegagalan untuk menentukan sentimen di lapangan, katanya. – 11 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen