Mengarut apa lagi filem Malaysia?


Haris Hauzah

ADA satu kebimbangan yang cukup menggerunkan dan amat menakutkan dalam industri perfileman tempatan sekarang, malah mengarut.

Selepas filem XX Ray 3 yang luka parah disesah kutukan akibat mutu penghasilannya yang dikatakan separuh masak, dunia sinema kita kemudiannya diserang dengan kemunculan filem psiko thriller seram yang sedang bergelut di pawagam cuba menafikan segala kecaman masyarakat bahawa ia karya plagiat.

Membikin dan mengusahakan sebuah filem tentunya bukan suatu pekerjaan yang mudah. Ia sama sekali tidak seindah malam gala karpet merah festival filem Malaysia, atau keriuhan suasana konvensyen serta kongres filem yang sering dihebohkan orang-orang kuat industri filem.

Keterujaan serta nafsu ingin menghasilkan filem tentu saja suatu usaha besar yang mulia. Malah usaha itu wajar sekali disambut dengan sokongan, dokongan dan pujian serta sejumlah penghargaan.

Namun harus segera kita semua fahamkan, baik sebagai penonton yang menonton, mahupun sebagai pengkarya yang menghasilkan. Filem adalah seni yang dihasilkan atas prinsip-prinsip kesenian yang menuntut ketulusan dan kejujuran.

Justeru, tiada cara lain untuk menghasilkan sebuah produk filem yang baik selain menghasilkannya dengan ciri dan tradisi seni terbaik lalu menjualnya sebagai sebuah harta intelek bermanfaat buat masyarakat.

Gejala mungkar

Mutu filem dan ekosistem perfileman yang industri filem kita hasilkan amat jauh ketinggalan. Oleh itu, gejala mungkar yang sedang berlaku sekarang ini harus segera kita cantas dan hentikan dengan kesedaran.

Ketahuilah bahawa kebimbangan ini jauh lebih menggerunkan daripada melihat sekumpulan jutawan filem ke hulu ke hilir melobi menteri dan para pegawai di kementerian. Ia sungguh memang amat jauh lebih menakutkan daripada melihat Finas terkontang-kanting membazirkan 10 bulan dengan tidak mencorakkan arah masa depan industri perfileman.

Filem tentu sekali bukan suatu produk kecantikan pemutih kulit yang menjanjikan pulangan lumayan. Ia bukan juga produk air botol kaca hipster milik usahawan pemuda kacak tempatan yang boleh dihidang atas meja mesyuarat menteri kabinet kerajaan.

Filem adalah hasil kerja seni kreatif sekumpulan karyawan dan seniman yang mahu menyampai dan meluahkan upaya kreatif hati dan pemikiran mereka melalui cerita yang mereka hasilkan.

P Ramlee pernah menitipkan pesan yang Yusnor Ef sematkan dalam buku tulisannya, P Ramlee Yang Saya Kenal.

“Karya seni adalah satu daripada kerja Tuhan. Oleh itu, buatlah sungguh-sungguh dengan penuh kejujuran.”

Nah, inilah sebenarnya isi pesan yang beberapa kerat para pengkarya kita buang jauh dan tinggalkan.

Menghasilkan filem memerlukan kesungguhan dan kejujuran. Malahan kualiti seninya adalah amanah dari tuhan.

Namun kebelakangan ini wujud kesesatan yang meresahkan, menyimpang jauh dari jalan kebenaran apabila pengkarya meninggalkan peranan yang seharusnya mereka dahulukan kerana terlalu sangat mengutamakan perkara yang bukan-bukan.

Pada 1 Mac lalu, sebuah filem dilancarkan dan bakal ditayangkan di pawagam pada 4 April ini. Menurut laporan yang dihebahkan, filem ini bergenre aneh iaitu komedi islamik dan ia tidak bertajuk.

Malah menurut pengarahnya, sebagai untuk menarik orang ramai hadir ke panggung menonton, dia akan mengadakan peraduan yang menawarkan hadiah lumayan sebagai habuan. Ya, hadiahnya ada kereta dan motosikal termasuk pakej umrah dan percutian ke luar negara. Penonton juga diminta memberi tajuk pada filem yang dihasilkannya itu.

Mengarut

Belum pun kita selesai memikirkan apa perlunya sebuah filem sengaja dibikin dua versi berbeza untuk tayangan, kini kita dihadapkan pula dengan suatu gimik filem terkarut yang lebih menakutkan.

Timbul banyak sekali persoalan daripada segala macam kejadian yang menghiasi ragam industri filem kita yang sememangnya masih jauh ketinggalan.

Adakah mereka tidak mengerti tentang apa produk yang telah mereka hasilkan? Mengapa sebegitu aneh sekali cara mereka menjual produk seni?

Sejarah telah memperlihatkan bahawa filem sudah teruji melalui pelbagai perkembangan yang menakjubkan. Bermula dengan hanya sebuah produk makmal pada tahun 1895, filem dengan pantas memperlihatkan potensinya yang bukan sekadar sebuah produk hiburan tetapi juga produk budaya, intelektual dan moral peradaban.

Tiada siapa dapat menafikan kenikmatan menonton sebuah filem, yang dahulunya hanya bercerita pada dunia tanpa warna dan suara namun tetap memberikan kenikmatan seni yang luar biasa.

Sejak kemunculan “Arrival of a Train” oleh Lumiere bersaudara, filem terbentuk menjadi alat hiburan seni yang memuaskan.

Perusahaan filem Hollywood yang melihat potensi besarnya segera menjadikan filem sebagai produk massa berkapasiti raksasa, komoditi dagang yang dieksport ke serata dunia.

Menurut Pam Cook, seorang profesor emeritus pengajian filem di Universiti Southampton,  sinema akan terus hidup dan penting bukan hanya menerusi sistem produksi, pengedaran dan penayangan, tetapi kekal berperanan dalam konteks budaya.

Perkembangan dan survival filem terbukti banyak berkait dengan beberapa tradisi dalam budaya sosial dan ekonomi. Perusahaan filem Hollywood mengurus dan menangani seluruh isu dan hal-hal perfileman dengan memahami kebudayaan dan pembudayaan industri filem itu sendiri.

Kelainan dalam menghasilkan filem seharusnya dibuat pada bentuk, struktur atau pendekatan penceritaan. Menghasilkan sebuah filem dengan dua versi berbeza serta menganjurkan peraduan untuk menamakan filem yang dihasilkan adalah sejenis kesesatan yang amat sedih dan menakutkan.

Kerja seni pada filem itu sudah tidak berpegang lagi pada prinsip seni yang boleh para pengkaryanya megahkan.

Filem sudah jadi bahan jenaka bagi sekumpulan manusia memasyhurkan nama sambil mengutip seberapa banyak hasil kekayaan dari kesucian industri yang sedang mereka musnahkan. – 10 Mac, 2019.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen