Guan Eng lagi sekali dihalang masuki sekolah Cina


Looi Sue-Chern

Lim Guan Eng sebelum ini pernah cuba untuk mengadakan lawatan ke sekolah yang sama sebelum ini namun ia juga gagal.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September 2017.

BUAT kali kedua dalam tempoh dua minggu, ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mendapati dirinya dihalang memasuki sebuah sekolah rendah Cina di Sungai Lembu, Pulau Pinang dan dimaklumkan agar meminta kebenaran daripada kementerian pendidikan.

Lim mahu mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kampung Sungai Lembu di Penanti hari ini bagi menyampaikan cek RM10,000 kepada ahli lembaga pengarah sekolah terbabit.

Ini merupakan kali kedua cubaan melawat sekolah terbabit selepas lawatan pada 26 Ogos lalu gagal di mana dia tidak dibenarkan masuk ke sekolah berkenaan pada saat akhir.

Sekolah terbabit telah mencetak banner dan membuat persediaan untuk menerima kunjungan Lim namun dibatalkan pada saat akhir.

Exco Pulau Pinang Chong Eng, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Sekolah Mubaligh berkata, jabatan pendidikan negeri yang menulis surat kepada kerajaan negeri dua hari lepas memberitahu ia memerlukan kebenaran menteri pendidikan.

“Jabatan itu berkata, mana-mana ketua menteri atau menteri besar perlu mendapatkan kebenaran daripada menteri.

“Dalam erti kata lain, ketua menteri tidak dibenarkan lagi melawat sekolah,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

Chong mempersoalkan mengapa menjadi isu kepada ketua menteri untuk melawat sekolah bagi melihat masalah yang mereka hadapi dan bagaimana kerajaan negeri boleh membantu dengan memberikan peruntukan.

Katanya, pihak lembaga sekolah sepatutnya dibenarkan untuk membuat keputusan mereka sendiri untuk menerima sesiapa ke sekolah mereka.

“Kita ada tujuan yang sama menjalankan kerajaan. Kerajaan pusat perlu menunjukkan contoh yang baik. Walaupun kita dalam parti berlainan yang bertanding menentang antara satu sama lain, pertandingan itu harus adil.

Sekolah di Sungai Lembu itu terletak berdekatan dengan kampung yang terkesan dengan kilang haram memproses karbon yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini bukanlah kali pertama, bagaimana pun, SJK(C) Kampung Sungai Lembu tetap akan menerima dana daripada kerajaan negeri yang diterajui DAP. Sejak 2008, sekolah berkenaan menerima RM360,000 daripada kerajaan negeri.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, layanan yang diterimanya berbeza dengan apa yang diterima ketua Umno bahagian berkenaan yang turut melawat sekolah yang sama sebelum ini.

“Ini adalah tidak adil. Zaidi boleh masuk melawat tetapi ketuam menteri yang dipilih tidak dihormati. Adakah jawatan ketua menteri lebih rendah daripada ketua bahagian Umno?” katanya merujuk kepada Ketua Umno Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said.

Beliau berkata sudah banyak sekolah yang beliau lawati sejak menjadi ketuam menteri pada Mac 2008 termasuk sekolah Islam swasta, tanpa menghadapi sebarang masalah sehinggalah kini.

“Kalau ketua menteri perlu menulis surat kepada menteri pendidikan untuk melawat sekolah, jadi adakah semua orang perlu berbuat demikian? Menteri ini tidak ada kerja lain? Bukan kerja beliau untuk beri kebenaran untuk melawat sekolah. Mereka tahukah apa itu ketua menteri? Baca balik Perlembagaan.

“Ini juga bermakna selepas ini (sebagai ketua menteri pembangkang) saya tidak boleh masuk ke semua premis persekutuan seperti balai polis, balai bomba dan hospital kerajaan?” katanya.

Lim menyerahkan cek bernilai RM10,0000, yang merupakan peruntukan ketua menteri, kepada lembaga pengarah sekolah di pejabatnya. – 8 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen