Kerana 1MDB, Muhyiddin batal hasrat bersara awal


Noor Azam Shairi Chan Kok Leong Low Han Shaun

MUHYIDDIN Yassin sebenarnya sudah bersedia untuk bersara daripada politik dan penggal ini adalah yang terakhir buatnya tetapi beliau membatalkan hasrat itu selepas melihat Perdana Menteri Najib Razak merosakkan negara dengan skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau membisikkan hasrat persaraannya itu kepada Najib, “ketika hubungan (kami) masih lagi baik”, pada majlis angkat sumpah ahli Parlimen di Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

“Saya beritahu Najib ini penggal saya yang terakhir. Dia tengok saya dan kata ‘saya ingat kita akan sama-sama menyambut tahun 2020’, lebih kurang begitulah.

“Saya tidak pasti apakah dia akan menyambut tahun 2020 (sebagai perdana menteri),” kata Muhyiddin kepada The Malaysia Insight dalam wawancara di pejabatnya, semalam.

Muhyiddin merujuk pada tahun Malaysia sepatutnya menjadi negara maju mengikut Wawasan 2020 yang digagaskan Perdana Menteri Malaysia Keempat, Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Muhyiddin, beliau membatalkan hasrat persaraan itu bukan kerana dipecat daripada kabinet dan kemudiannya daripada Umno tetapi kerana apa yang berlaku pada negara dengan skandal 1MDB.

“Kerana apa yang berlaku, saya bertanya soalan yang sama (semula). Bolehkah saya bersara? Tidak boleh. Saya mesti lakukan sesuatu demi negara,” katanya.

“Kalau saya tidak buat, bolehkah orang lain buat? Ya, Anwar (Ibrahim) boleh tetapi saya mahu jadi sebahagian daripada perjuangan ini dan itulah sebabnya saya sedia untuk meneruskan (tidak jadi bersara).

“Saya mungkin tidak lagi muda dan kuat seperti dulu tetapi saya sedia untuk melakukan apa yang harus saya lakukan,” katanya.

Muhyiddin disingkirkan daripada kabinet pada Julai 2015 sebelum setahun kemudian, dipecat pula daripada Umno. Beliau kemudian ikut sama menubuhkan Bersatu, yang akan merayakan ulang tahun pertamanya di Muar, Johor, esok.

Muhyiddin, 70, mula menyertai politik pada 1971. Beliau bertanding pilihan raya umumnya yang pertama pada 1978 dan menang kerusi Parlimen Pagoh.

Kerusi itu beliau pertahankan sehingga 1982 sebelum berpindah ke kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang pada Pilihan Raya Umum 1986. Selepas pilihan raya itu, Muhyiddin dilantik menjadi Menteri Besar Johor, sehinggalah berpindah semula ke kawasan Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum 1995.

Biarpun memasuki dekad kelima dalam politik, presiden Bersatu itu berkata beliau hairan dengan sikap rakyat Malaysia yang tidak acuh dengan masalah yang melanda negara.

“Saya tidak mahu membandingkan keadaan dengan negara lain di rantau ini. Saudara tahu bagaimana keadaan di negara-negara itu, tetapi di sini ada sikap tidak acuh.

“Apabila kita bercakap dengan mereka, mereka akan cerita bermacam masalah tetapi mereka tidak mahu tampil ke depan,” katanya.

Berikut adalah petikan wawancara berkenaan:

TMI: Orang kata Tan Sri perkauman kerana dulu pernah kata “saya Melayu dahulu, rakyat Malaysia kemudian.” Apa komen?

Muhyiddin: Jangan salah faham. Saya tidak fikir ada orang mengatakan saya ini racist. Saya pernah tanya, sewaktu saya dalam kerajaan, memegang semua jawatan, sewaktu jadi menteri besar, ada tak satu tindakan yang saya lakukan yang dilihat sebagai perbuatan racist? Saya tanya orang berkenaan, dia tidak boleh jawab.

Yang saya sebut itu satu kenyataan, satu fakta. Kita kalau Melayu, Melayulah; kalau Cina, Cinalah. Itu satu kenyataan. Tetapi sebagai bangsa Malaysia atau rakyat Malaysia, yang penting ialah perbuatan kita, bukannya apa yang kita katakan.

Di mana kementerian sekali pun (semasa saya jadi menteri), adakah kerana dia Cina, saya tidak tolong dia ataupun kerana dia Melayu, saya beri dia lebih. Saya hendak berlaku adil.

Orang harus menilai saya bukan atas apa yang saya sebut tetapi tindakan dan perbuatan saya. Ada sumbangan atau tidak ada sumbangan, itu penilaian masing-masing.

Saya tidak melihat ada tindakan saya yang berbaur perkauman. Menantu saya Cina dan ramai kawan saya pun orang Cina.

Sebagai rakyat Malaysia dan sebagai seorang pemimpin, kita mesti bersikap adil, mesti bertimbang rasa, faham tentang cita rasa bukan saja kaum you saja, kaum lain juga. Ini saya lakukan sejak mula saya terlibat dalam politik.

Jadi saya fikir kenyataan itu tidak payah nak diungkit-ungkitkan lagi, untuk brand saya sebagai seorang racist. Itu taktik pihak yang tidak ada modal hendak brand saya atas satu kenyataan yang pernah saya buat suatu ketika dahulu.

Saya tidak pernah terfikir di penghujung karier, saya akan rapat dengan Dr Mahathir, kata Muhyiddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2017.

TMI: Bolehkah Bersatu mewakili orang Melayu seperti Umno?

Muhyiddin: Saya percaya boleh tetapi akan ambil masa. Umno tidak lagi boleh mendakwa ia menguasai sokongan orang Melayu atau hanya dia saja parti yang mempertahankan hak orang Melayu atau dia satu-satunya parti yang mempertahankan Islam sebagai agama orang Melayu. Ini tidak betul, dan saya fikir salah juga sebenarnya untuk buat dakwaan seperti itu.

Bersatu bukan perkauman kerana kita berjuang untuk semua rakyat Malaysia. Kita sudah buktikan melalui banyak kenyataan dan perkara yang kita lakukan.

Ini bukan hanya sekadar soal taktik. Selama ini, pembangkang boleh menang kerana mereka boleh menembusi kawasan Melayu yang dikuasai Umno. Kenapa PKR tidak menang pilihan raya yang lalu atau PAS pun tidak boleh walaupun pernah menang di Kelantan dan Terengganu? Ini kerana faktornya sama.

Semua kerusi milik Umno ialah kerusi di kawasan majoriti Melayu. Sebab kenapa kita tubuh parti ini ialah kerana kita hendak menembusi dan memecahkan monopoli itu.

TMI: Pada umur seperti sekarang ini, Tan Sri tak perlu buat semua ini. Apa sebab hendak tubuh parti politik baru?

Muhyiddin: Saya sudah buat keputusan sebenarnya lebih awal dulu lagi, (selepas berbincang) dengan keluarga dan kawan-kawan. Saya kata masanya sudah sampai untuk saya bersara.

Saya masih ingat lagi ketika itu hubungan saya dengan Najib masih lagi baik. Dia duduk di sebelah kiri saya di Parlimen sewaktu mengangkat sumpah (sebagai ahli Parlimen). Saya beritahu Najib ini penggal saya yang terakhir.

Dia tengok saya dan kata “saya ingat kita akan sama-sama menyambut tahun 2020” (ketika Malaysia sepatutnya diisytiharkan sebagai negara maju mengikut Wawasan 2020), lebih kurang begitulah. Saya tidak pasti apakah dia akan menyambut tahun 2020 (sebagai perdana menteri).

Itu empat tahun yang lalu. Saya kata kalau saya sambung sampai ke akhir penggal ini, umur saya akan jadi 71. Jadi saya fikir, sudah, sudahlah.

Saya tidak pasti sejauh mana saya sudah menyumbang kepada negara. Saya sudah berkhidmat untuk beberapa tahun. Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai sumbangan saya. Jadi, saya rasa masa sudah tiba untuk saya bersara dan kemudian, ini berlaku.

Keluarga kata, ini masanya untuk bersara. Kawan-kawan kata, iyalah, okaylah, boleh pergi main golf, boleh pergi makan angin, tidak ada siapa akan tahan, boleh buat apa yang saya suka, boleh duduk di kedai kopi berjam-jam, tidak akan ada siapa yang akan merungut apa yang saya buat.

Saya harap boleh buat semua itu sebab itulah perkara-perkara yang lama saya tidak buat kerana selama ini, pagi di pejabat, petang di pejabat, malam di pejabat, meeting, meeting, meeting.

Kemudian ini berlaku… bukan sebab saya dipecat tetapi kerana apa yang berlaku dalam negara kita.

Saya tidak pernah bayangkan saya akan rapat dengan Dr Mahathir Mohamad pada penghujung karier saya. Kami berjumpa hampir setiap hari untuk berbincang apa yang jadi pada negara.

Ini sesuatu yang saya mesti buat pada penghujung karier saya. Inilah masanya.

Kerana apa yang berlaku, saya bertanya soalan yang sama (semula). Bolehkah saya bersara? Tidak boleh. Saya mesti lakukan sesuatu demi negara.

Adakah saya akan berjaya? Saya tidak begitu pasti. Harapnya berjaya, tetapi harapanlah satu-satunya yang kita ada. Jalannya tidak mudah kerana saya menghabiskan masa yang lebih banyak sekarang untuk ini sedangkan sepatutnya saya bermain dengan cucu. Tetapi saya tidak ada banyak pilihan.

Kalau saya tidak buat, bolehkah orang lain buat? Ya, Anwar (Ibrahim) boleh tetapi saya mahu jadi sebahagian daripada perjuangan ini dan itulah sebabnya saya sedia untuk buat apa yang saya perlu buat.

Saya mungkin tidak lagi muda dan kuat seperti dulu tetapi saya sedia untuk melakukan apa yang harus saya lakukan.

Ini cabaran sekali seumur hidup. Boleh jadi berjaya, boleh jadi tidak. Saya serahkan kepada Allah.

Kalau kita hendak tubuh syarikat, kita akan hitung kos dan manfaat, untung dan rugi. Tetapi apabila tubuh parti politik, saya tidak pernah kira apa yang saya perlukan untuk menggerakkan parti ini. Saya cuma berharap orang akan menyertai kami.

Saya rasa mustahak sebagai seorang insan, ada keazaman untuk meneruskan perjuangan. Tak mengapa, kalau saya mati esok, macam yang Tun kata, sekurang-kurangnya saya sudah cuba.

Saya tidak fikir saya bodoh. Tidak ada orang kata saya bodoh sebab buat apa yang saya buat ini. Mungkin yang bodohnya ialah orang yang bertanya kenapa saya buang masa dan tenaga untuk semua ini.

Johor bukan lagi kubu kuat Umno dan BN, kata Muhyiddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2017.

TMI: Ada tidak detik tertentu yang menyebabkan Tan Sri putuskan inilah masanya tubuhkan Bersatu?

Muhyiddin:  Saya orangnya berfikir, merenung. Ini bukan satu proses. Semuanya cepat. Mereka yang bersama dengan saya tahu bagaimana pantas saya bergerak.

Walaupun saya tidak kata apa-apa, ia berjalan dalam kepala. Usaha ini satu perjuangan yang real. Kita perlu turun dan lakukan sesuatu. Saya tidak boleh hendak minta Tun datang dan uruskan pejabat dan tubuhkan cawangan di seluruh negara. Saya di sini untuk bangunkan infrastruktur, sokongan politik dan sebagainya.

Saya buat begini walaupun tidak ada dukungan penuh, tapi tak mengapa asalkan perlahan-lahan orang faham.

Sekarang ada orang Cina datang beritahu saya mereka sokong saya. Boleh jadilah apa yang saya buat itu tak salah. Ini bukan keputusan tiba-tiba atau kebetulan semata-mata. Ini serious business. Ini politik cuba menyelamatkan negara.

Kita mesti memikirkannya untuk ia jadi nyata. Itu sebabnya saya kata kepada Tun, kita tak boleh terus melawan begini. Itu sebelum Bersatu ditubuhkan. Kita perlukan platform dan parti, dan sekarang kita sudah ada sebuah parti.

TMI: Sejauh mana yakin undi Melayu akan beralih daripada Umno?

Muhyiddin: Daripada pengamatan saya secara dekat dan daripada kajian-kajian empirikal Bersatu, kita mendapati ada trend positif dalam kalangan pengundi secara umumnya termasuk Melayu di kawasan Felda. Parti politik selain BN sebelum ini susah hendak tembus Felda tetapi hari ini Felda buka pintu dan kita masuk menubuhkan cawangan.

Orang Melayu pun antara kelompok masyarakat yang terbeban dengan masalah hidup yang ada pada hari ini. Sebahagian besar mereka tergolong daripada kalangan berpendapatan kecil dan miskin. Dengan situasi kos hidup yang semakin meningkat, orang Melayu hari ini sudah tidak boleh bertahan, apatah lagi bukan Melayu juga.

Bagi saya ini satu peralihan trend orang Melayu, orang bukan Melayu sudah lama pun begitu, dan mereka akan menolak BN.

TMI: Bagaimana signifikannya peralihan ini?

Muhyiddin: Pada 2013, BN hanya dapat 48% undi popular manakala 52% undi popular pergi kepada pembangkang, tetapi ia tidak mencetuskan perubahan pada kerajaan.

Bagaimana saudara bandingkan 2013 dan 2017? Lebih baik atau lebih buruk?

Saya dengar banyak orang kata keadaan lebih baik tetapi berdasarkan pada senario dan kajian yang kita lakukan, keadaan bertambah buruk.

Jadi, sekiranya keadaan bertambah buruk maka 48% undi popular yang BN dapat pada 2013 tidak boleh dipertahankan. Kalau kita pergi ikut negeri dan kawasan, kita boleh lihat peralihan itu sudah berlaku.

Johor dulu kubu kuat Umno. Orang menggelarnya blue state tapi saya kata blue state sudah bertukar jadi blur state.

Walaupun orang Johor selama ini menyokong Umno, mereka kini sudah beralih kerana masalah dan isu itu. Mereka sekarang sudah terdedah dan berpendidikan, ada pengalaman dan mereka nampak apa yang berlaku. Saya tidak fikir mereka sokong apa yang kerajaan buat. – 8 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen