PENYOKONG PAS di kubu kuatnya Kelantan masih was-was akan kerjasama parti Islam itu dan Umno walaupun pemimpin dua parti Melayu yang sebelum ini saling bersaing sudah mula duduk semeja.
Tinjauan The Malaysian Insight mendapati penyokong kalangan muda terbuka kepada kerjasama lebih erat antara dua parti itu namun dalam kalangan tua yang melalui sejarah getir hubungan dua parti itu terutamanya pada dekad 1970-an dan 1980-an, mereka tidak percaya pada Umno.
Wan Ahmad, 61, berkata seperti banyak rakyat Kelantan lain, beliau tidak selesa dengan kerjasama Umno dan PAS.
Pemilik kedai makan di Kota Baru itu berkata mereka boleh terima kerjasama Umno dan PAS atas nama penyatuan umat Islam tetapi tidak kalau gabungan politik.
“Ramai yang kata mereka tak berapa senang dengan kerjasama PAS dan Umno. Kita nampak cuma di peringkat pusat saja tetapi tidak di sini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sentimen itu senada dengan pandangan Rahim, 55, yang mengingatkan bahawa sehingga ini belum ada kenyataan rasmi PAS di peringkat negeri berkenaan kerjasama antara dua parti itu.
“Setakat ini pimpinan PAS tidak ada kata apa pun, kita masih sama seperti dulu, di sini PAS… PAS, Umno… Umno.
“Kita tak boleh terima kerjasama sebab sukar untuk kita percaya kepada Umno, ia sudah terbukti bagaimana Umno mengkhianati PAS dulu,” katanya merujuk kepada krisis politik 1977 yang membawa kepada penyingkiran PAS daripada Barisan Nasional.

Krisis bermula daripada undi tidak percaya terhadap menteri besar pada masa itu Mohamed Nasir yang berlanjutan sehingga perintah darurat di Kelantan, yang dibantah oleh PAS.
Pada dekad 1980-an, Umno dan PAS sekali lagi terjebak dalam konflik apabila dalam kalangan penyokong saling tuduh menuduh siapa lebih Islam sehingga timbul dakwaan kafir mengkafir.
Sejak itu, Umno dan PAS dilihat seteru politik yang bersaing merebut undi Melayu dalam semua pilihan raya. Bagaimanapun selepas Pilihan Raya Umum ke-14, dua parti itu mula menjalin kerjasama sehingga memenangkan BN dalam dua pilihan raya kecil, yang terbaru di Semenyih, Selangor minggu lalu.
Kelmarin, pemimpin kanan Umno dan PAS duduk semeja berunding dan mengumumkan pembentukan sebuah jawatankuasa kecil membincangkan bentuk kerjasama lebih formal untuk masa depan.
Walaupun kelompok penyokong PAS yang berumur curiga dengan pakatan baru itu, rakyat Kelantan yang lebih muda terbuka kerana merasakan kedudukan Melayu dan Islam sedang digugat oleh kerajaan di persekutuan.
Bagi Nik, 39, PAS mesti lebih dominan dalam hubungan kerjasama itu dan tidak hanya ikut telunjuk Umno.
“Kerjasama PAS dan Umno, penduduk sini boleh terima cuma waswas itu masih ada.
“Kita waswas sebab Umno kita tahulah sejarahnya macam mana, lagi satu Umno dulu pemimpin ramai yang terlibat dengan rasuah.
“Sebab itu kalau nak kerjasama PAS kena dominan kena mengetuai gabungan tersebut,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau percaya penyokong PAS sedia menerima kerjasama dengan Umno untuk mempertahankan kedudukan Melayu dan Islam.
“Sebab kita tengok kerajaan Pakatan Harapan gagal mempertahankan hak Melayu Islam.
“Kalau kita tengok dasar mereka banyak membelakangkan hak dan sentuh keistimewaan orang Melayu macam Tabung Haji, Felda. Isu ini memang menyebabkan rakyat Kelantan marah kerajaan,” katanya.
Nik juga melihat, suka atau tidak, PAS penentu dalam menarik sokongan kaum Melayu.
“PAS ini jadi king maker dalam politik, kalau tak, kenapa Dr Mahathir Mohamad pernah membuat kenyataan untuk PAS sokong beliau.
“Sebab beliau pun tahu betapa sokongan Melayu kepada PAS sangat besar,” katanya.
Faisal Halim, 45, berkata penyokong PAS boleh terima Umno kerana ia juga parti yang komited menjaga hak Melayu dan Islam.
“Sangsi itu ada, saya fikir pimpinan tidak harus mempercayai sangat orang Umno.
“Tapi kita tidak ada pilihan sebab kita tengok dalam kerajaan, banyak DAP yang buat keputusan,” katanya, mengulangi naratif Umno dan PAS tentang DAP dalam kerajaan.
“Sebagai contoh isu hina Nabi Muhammad, kita tengok makin menjadi-jadi, apa kerajaan buat,” kata pekerja swasta itu.
Seorang lagi pengundi, Noor Ahmad, 52, berkata beliau tiada masalah dengan kerjasama PAS dan Umno.
“Saya rasa okay lah, boleh terima, lagi pun untuk Islam Melayu, tak salah,” katanya. – 7 Mac, 2019.
Komen