UMNO tidak memutuskan sebarang logo tunggal untuk digunakan dalam pilihan raya bersama rakan kongsi baharunya PAS sewaktu perbincangan dua parti itu, kata Mohamad Hasan.
Timbalan presiden Umno itu berkata, sebaliknya kedua-dua parti hanya bersetuju menubuhkan jawatankuasa teknikal khusus bagi kerjasama kedua-dua parti.
“Tidak akan ada simbol baru, tidak,” kata Mohamad ketika diasak berkali-kali oleh pemberita dalam sidang media bersama pemimimpin PAS di ibu pejabat Umno, Kuala Lumpur.
Beliau menjawab desas-desus yang timbul sejak beberapa hari lalu mengenai logo tunggal itu, susulan pendedahan pemimpin PAS bahawa parti itu akan bermesyuarat dengan Umno hari ini.
Ia didakwa bagi mencontohi langkah Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo PKR sebagai lambang tunggal dalam PRU14 untuk mengelakkan kekeliruan.
Ini memandangkan, Umno dan PAS masih belum membentuk sebagai kerjasama rasmi seperti dengan parti dalam Barisan Nasional (BN), yang kini berantakan.
Bagaimanapun, Mohamad berkata, tiada alasan untuk rakan komponen parti masing-masing untuk menolak kerjasama PAS-Umno kerana parti berkenaan tidak akan dipinggirkan.
Menurutnya, hasil perbincangan hari ini akan dibawa kepada anggota komponen BN dan Gagasan Sejahtera.
“Umno akan bawa ke mesyuarat BN pada Jumaat dan PAS dengan Gagasan Sejahtera. Ini kita tidak pinggirkan rakan parti masing-masing,” kata Mohamad lagi.

Tambah Mohamad, jawatankuasa itu juga hanyalah kerjasama dan bukan penyatuan di antara kedua-dua parti majoriti Melayu itu.
Jelasnya, gabungan PAS-Umno itu pula bertujuan menyatukan orang Melayu tetapi bukan untuk menentang bukan Melayu.
“(Perbincangan libatkan) Umno dan PAS dahulu, tapi agenda kita bukan semata-mata Melayu menentang bukan Melayu.
“Kita nak satukan Melayu dan Bumiputera dahulu bila ada kekuatan ia akan datangkan kepada bukan Melayu,” kata Mohamad.
Katanya lagi, jawatankuasa kerjasama untuk “penyatuan ummah” itu akan dipengerusikan naib presiden kedua-dua parti – Khaled Nordin bagi Umno dan Idris Ahmad bagi PAS.
Jawatankuasa itu juga akan dianggotai lima ahli setiap parti, termasuk wakil NGO dan individu berpengaruh, kata Mohamad lagi.
Perbincangan selama dua jam setengah itu turut mengambil ketetapan Umno dan PAS akan meneruskan kerjasama dalam setiap PRK.
PAS dan Umno juga bersetuju memantapkan kerjasama kedua-dua parti di Parlimen sebagai pembangkang sebagai ejen semak dan imbang ke atas pentadbiran kerajaan PH, katanya.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang diwakili timbalannnya Tuan Ibrahim Tuan Man, yang disertai Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, Ketua Pemuda PAS Khalil Abdul Hadi dan barisan tertinggi parti.
Umno pula diwakili pimpinan tertinggi parti termasuk Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Wanita Noraini Ahmad dan anggota majlis tertinggi. – 5 Mac, 2019.
Komen