Semua sudah dirancang, kata ahli Parlimen PAS


Zulkifli Sulong

Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar mengakui mendapat maklumat pembentangan RUU355 hari ini bagi membolehkan PAS memberikan penjelasan tentangnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2017.

TINDAKAN mengejut speaker Parlimen menghentikan perdebatan selepas dua wakil PAS bercakap mengenai RUU355 sememangnya sudah dirancang kerana sidang ini bertujuan membolehkan parti Islam itu menjelaskan kandungan dan tujuan rang-undang-undang itu.

Ahli Parlimen PAS Mahfuz Omar berkata, beliau mendapat maklumat, perkara berkenaan sudah dirundingkan sejak awal bagi membolehkan PAS “memberikan penjelasan” tentangnya.

“Saya sudah dimaklumkan sejak semalam. PAS akan dibenarkan membentangkan RUU355 untuk memberikan penjelasan mengenainya dan selepas itu ia akan ditangguhkan,” kata Mahfuz kepada The Malaysian Insight.

Speaker Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang perdebatan selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang (Marang) membentangkan usul bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan disokong Setiausaha Agung PAS, Takiyudin Hassan (Kota Bharu).

Selepas kedua-duanya berucap, Pandikar menangguhkan sidang ke sesi akan datang yang belum ditentukan tarikhnya.

Timbalan Perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini juga memberitahu perkara sama mengenai perbentangan kali ini yang tidak akan sampai kepada peringkat pengundian.

Ketika mencelah ucapan daripada Takiyuddin, semua ahli Parlimen Umno kelihatan menyokong RUU355 manakala ahli Parlimen BN bukan Islam menentangnya.

Ahli Parlimen Umno yang kelihatan menyokong adalah Rompin (Hassan Ariffin, Jerantut (Ahmad Nazlan Idris), Bagan Serai (Noor Azmi Ghazali), Setiu (Che Mohamad Zulkifly Jusoh), Grik (Hasbullah Osman), Lenggong (Datuk Shamsul Anuar Nasarah) dan Sikijang (Anuar Abd Manap).

Antara wakil rakyat BN bukan Islam yang menentang adalah Khoo Soo Seang (Tebrau-MCA) dan Koh Nai Wong (Alor Gajah-MCA).

DAP juga dilihat menentang RUU355 sebelum Hadi membentangkannya lagi.

Manakala wakil PKR, Amanah dan Bersatu dilihat tidak menyatakan pendirian masing-masing. – 6 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen