SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN) Nazri Aziz sedia melepaskan jawatan tersebut jika pelantikannya itu tidak sah seperti didakwa MIC dan MCA.
Nazri juga berkata, beliau sedia bersemuka dengan pemimpin MIC dan MCA yang menganggap beliau tidak menghormati kedua-dua parti komponen tersebut.
Oleh itu, beliau tetap akan hadir mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan pada Jumaat ini, walaupun menerima tentangan daripada MIC dan MCA.
Katanya, kedua-dua parti itu juga sepatutnya hadir ke mesyuarat itu dan tidak memulaukannya mesyuarat itu hanya kerana kehadirannya.
“Pelantikan tidak sah? Kalau tidak sah tiada masalah, saya berhentilah. Ia mesti ikut undang-undang (parti).
“Datanglah… saya akan datang, saya datang. Saya tiada masalah untuk berdepan. Saya akan datang.., Janganlah begitu (MCA dan MIC), datanglah,” kata Nazri ketika ditemui pemberita.
Beliau mengulas kenyataan bersama Presiden MCA Wee Ka Siong dan Presiden MIC S A Vigneswaran yang berpendapat Nazri tidak layak hadiri mesyuarat itu kerana pelantikannya tidak mengikut perlembagaan BN.
Wee dan Vigneswaran berkata pelantikan Nazri tidak pernah dibincang atau mendapat persetujuan rasmi dalam Dewan Tertinggi BN.
Pelantikan tersebut diumumkan oleh Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 27 Oktober tahun lalu.
Pertikaman lidah itu rentetan daripada ucapan Nazri sewaktu kempen pilihan raya kecil DUN Semenyih yang didakwa berbaur perkauman.
Susulan dari ucapan tersebut, Wee dan Vigneswaran menyifatkan tindakan Nazri itu tidak menghormati kedua-dua parti komponen BN itu.
Nazri yang menafikan beliau mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman kemudian berkata BN tidak akan rugi jika MCA dan MIC keluar dari gabungan itu.
Sementara itu, mengulas kerjasama rasmi antara Umno dan PAS, Nazri berkata ianya baik demi perpaduan Melayu dan Islam, namun memberi ingatan ia harus bersifat BN.
“Kerjasama PAS dan Umno bagus untuk perpaduan Melayu dan Islam tapi pada pandangan saya mesti berbentuk BN dan PAS.
“Sebab kalau Umno dan PAS nampak Melayu sangat. BN dan PAS nampak pelbagai kaum,” kata Nazri lagi. – 5 Mac, 2019.
Komen