Pengerusi KTMB, bekas exco Selangor tiba untuk siasatan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pengerusi KTMB Rameli Musa bersama bekas exco Selangor Zaidy Abdul Talib dan seorang kakitangan ibu pejabat PAS hadir di SPRM Putrajaya hari ini bagi membantu siasatan kes dana RM90 juta yang didakwa diterima PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2019.

PENGERUSI Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Rameli Musa hadir untuk siasatan hari ini bersama seorang bekas exco Selangor Zaidy Abdul Talib dan seorang kakitangan ibu pejabat PAS.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berkata ketiga-tiganya hadir untuk siasatan kes dana RM90 juta didakwa disalurkan kepada PAS oleh Umno.

Difahamkan, kesemuanya tiba pada kira-kira jam 10 pagi di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya.

Rameli difahamkan tiba berasingan beberapa minit lebih awal dengan menaiki kereta Toyota Vellfire berwarna hitam.

Siasatan diperluas ke atas Rameli dan individu berkenaan selepas nama tokoh korporat itu disebut sebagai individu yang didakwa bertanggungjawab membuat bayaran kepada blog Sarawak Report.

Dakwaan tersebut dibuat oleh bekas ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Bayaran itu didakwa untuk khidmat guaman bagi penyelesaian di luar mahkamah dalam kes saman Presiden PAS Abdul Hadi Awang terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Terdahulu, SPRM mengambil keterangan ke atas lima orang pemimpin kanan PAS dan dua orang bekas pemimpin kanannya parti tersebut.

Minggu lalu, SPRM menyiasat Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dan Ahli Exco PAS Mohamed Nasir Che Daud.

Antara perkara yang disoal SPRM adalah berhubung pembelian kereta mewah jenis Porsche Cayman.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan disiasat mengenai dakwaan beliau memiliki beberapa kereta dan motosikal mewah selain nombor pendaftaran kenderaan yang eksklusif.

Pada 8 Februari lalu, penyiasat antirasuah merakam keterangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Nik Abduh merupakan individu yang dikenalpasti bercakap dalam satu rakaman suara mengenai Umno membayar dana kepada PAS.

Bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa disiasat pada hari sama, 8 Februari manakala bekas naib presiden PAS Husam Musa yang kini naib presiden Amanah, disiasat dua minggu kemudian.

Siasatan itu dimulakan SPRM susulan laporan polis oleh orang awam selepas Hadi menarik balik saman ke atas Rewcastle-Brown berhubung tuduhan berkenaan.

Awal bulan lalu, Hadi dan Rewcastle-Brown menyelesaikan saman masing-masing di luar mahkamah London namun artikel 6 Ogos, 2016 berhubung tuduhan PAS menerima wang itu kekal di portal Sarawak Report.

Artikel lapan perenggan itu mendakwa RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi parti tersebut supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional.

Pada minggu lalu, Sarawak Report menerbitkan satu lagi laporan mendakwa PAS menggunakan dana daripada Umno untuk membiayai calon parti itu bertanding pilihan raya umum Mei lalu.

Sarawak Report mendakwa kira-kira RM1 juta lagi didepositkan secara tunai oleh Umno ke dalam akaun PAS. – 5 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen