Takiyuddin di SPRM untuk kes RM90 juta dari Umno


Kalidevi Mogan Kumarappa

Takiyuddin Hassan (kiri) dimaklumkan sumber sedang memberi keterangan kepada SPRM berkaitan kes RM90 juta diterima PAS daripada Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2019.

SETIAUSAHA Agung PAS Takiyuddin Hassan tampil memberi keterangan kepada agensi anti rasuah bagi siasatan kes dana RM90 juta didakwa disalurkan Umno dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada parti Islam itu.

Menurut sumber, Takiyuddin tiba kira-kira jam 9.20 pagi di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sehingga sehingga kini masih berada di bangunan itu.

Beliau merupakan pemimpin PAS kedua yang disiasat bagi kes penyaluran dana berkenaan setakat ini.

Penyiasat anti rasuah sudah merakam keterangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada 8 Februari lalu.

Dua lagi yang disiasat merupakan bekas pemimpin parti itu.

Bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa disiasat pada hari sama, 8 Februari.

Seorang lagi, bekas naib presiden PAS Husam Musa yang kini naib presiden Amanah, disiasat dua minggu kemudian.

Takiyuddin pada 11 Februari lalu mengesahkan bahawa Nik Mohamad Abduh merupakan individu yang bercakap dalam satu rakaman suara berhubung penerimaan wang dari Umno.

Rakaman tersebut yang tersebar pada sejak Februari tahun lalu antara lain mendakwa PAS meminta RM2 juta daripada Umno dan ia dibuat dengan pengetahuan seorang pemimpin kanan PAS.

Wang berkenaan didakwa digunakan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2016 dan untuk menjatuhkan DAP.

Beberapa nama turut dipetik dalam rakaman audio tersebut termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan dan menantu Hadi, Zaharuddin Muhammad. 

Siasatan itu dimulakan SPRM susulan laporan polis oleh orang awam selepas Hadi menarik balik saman ke atas Ketua Pengarang Sarawak Report Claire Rewcastle-Brown berhubung tuduhan berkenaan.

Kedua-duanya menyelesaikan saman tersebut di luar mahkamah London pada minggu lalu namun artikel 6 Ogos 2016 berhubung tuduhan PAS menerima wang itu kekal di portal Sarawak Report.

Artikel lapan perenggan itu mendakwa RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi parti tersebut supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional.

Pada minggu lalu, Sarawak Report menerbitkan satu lagi laporan mendakwa PAS menggunakan dana daripada Umno untuk membiaya calon parti itu bertanding pilihan raya umum Mei lalu.

Sarawak Report mendakwa, sejumlah kira-kira RM1 juta lagi didepositkan secara tunai oleh Umno ke dalam akaun PAS.

Penyiasat turut menyenaraikan bekas pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreeevasan sebagai saksi dalam siasatan kes melibatkan pemimpin PAS.

Namanya disebut Rewcastle-Brown dalam tulisan yang mendakwa PAS menerima dana daripada Umno. – 28 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen