Walau ada risiko pencemaran, peneroka Bukit Goh sokong bauksit dilombong


Andrew Chin

Perlombongan bauksit di Felda Bukit Goh menyebabkan tanah sudah tidak sesuai digunakan untuk pertanian, menyebabkan peneroka tiada sumber pendapatan selepas moratorium dilaksanakan pada 2015. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2019.

FELDA Bukit Goh adalah penempatan penanaman kelapa sawit yang terletak hampir 30km dari Kuantan, salah sebuah lombong bauksit terbesar di Pahang.

Selepas kerajaan Barisan Nasional mengenakan moratorium ke atas aktiviti perlombongan pada Januari 2015, semua aktiviti perlombongan di Bukit Goh dan berpuluh lagi kawasan terhenti, meninggalkan peneroka dengan tanah yang kini sudah tidak lagi boleh digunakan untuk aktiviti perladangan.

Baru-baru ini, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar mengumumkan yang moratorium itu akan dibatalkan pada hujung April, tindakan yang disambut ramai penduduk tempatan.

“Selepas kami benarkan syarikat perlombongan korek dan jalankan aktiviti perlombongan mereka, tanah sudah tak sesuai untuk perladangan,” kata peneroka yang hanya mahu dikenali sebagai Ripin, 61.

“Kami tak boleh guna untuk pembangunan juga, jadi mengapa tidak biarkan sahaja mereka teruskan melombong bauksit dan kemudian kembalikan tanah kepada kami?

“Kami boleh gunakan tanah untuk pembangunan lain atau mula menanam balik,” katanya.

Mat Kasim Mat Min, 71, juga bersetuju dengan Ripin, berkata, tanahnya sudah dipajak kepada syarikat perlombongan, dan selepas moratorium dilaksanakan, tanah itu hanya terbiar kerana tidak ada pembangunan atau aktiviti perladangan boleh dijalankan.

“Kami peneroka bergantung kepada tanah untuk menyara hidup. Bila perlombongan dibenarkan, saya ada pendapatan bulanan, tetapi selepas moratorium dikenakan, saya tidak ada (pendapatan bulanan). Jika moratorium dibatalkan, sekurang-kurangnya saya boleh dapat sedikit duit dan boleh hidup lebih selesa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sebelum moratorium dilaksanakan, keluaran bauksit tahunan Malaysia hampir mencecah 20 juta tan pada 2015, berbanding hanya 200,000 tan pada 2013, menjadikan negara sebagai salah sebuah pengeluar terbesar dunia, membekalkan hampir separuh bekalan sumber berharga itu untuk industri aluminium mega China.

Bagaimanapun, kekurangan penguatkuasaan undang-undang menimbulkan kemarahan rakyat selepas sumber tanah dan air negeri dikatakan tercemar dengan debu merah bauksit, mencetuskan kebimbangan kesihatan dan alam sekitar.

Ripin mengakui sebelum moratorium, tanah dan udara kawasan itu sering dipenuhi dengan debu merah bauksit.

“Ketika itu, kenderaan pengangkutan bauksit sentiasa bergerak, jadi semua kereta tepi jalan, rumah, malah kucing pun, terkena debu merah,” katanya.

Tanah yang dipajak untuk perlombongan bauksit semuanya mempunyai lubang dalam, dan tidak lagi sesuai untuk perladangan atau pembangunan lain melainkan usaha besar-besaran dilakukan untuk menjadikan ia kembali subur.

Difahamkan yang plot tanah peneroka selua 4.4 hektar ditawarkan ganjaran pendahuluan pajakan sebanyak RM20,000 untuk perlombongan bauksit, dan untuk setiap 1 metrik tan bauksit dilombong, peneroka mendapat bayaran RM10,000 sehingga RM12,000.

Seorang lagi peneroka, Abu Seman Bakar, 80, percaya yang pencemaran yang pernah berlaku tidak akan berulang jika kerajaan baharu mengenakan peraturan lebih ketat.

Beliau mendakwa, pencemaran teruk berlaku dahulu kerana lori pengangkut bauksit menggunakan kawasan kediaman sebagai laluan keluar masuk mereka.

“Ada beratus tapak melombong, ada yang sah, ada yang haram. Bukannya perlombongan bauksit yang menyebabkan pencemaran,” katanya.

Tambahnya, pegawai tempatan juga perlu memberi taklimat kepada peneroka tentang kaedah pengurusan bauksit supaya penduduk tahu peraturan dan syarat baharu.

Pengkhianatan

Bagaimanapun, tidak semua peneroka yakin kerajaan baharu akan mampu melaksanakan peraturan dan dasar untuk menghalang bencana alam sekitar sekiranya perlombongan bauksit diteruskan.

Mohd Aziz menentang pembatalan moratorium, berkata kerajaan Pakatan Harapan sudah mengkhianati penduduk Bukit Goh.

“Sebelum PH berkuasa, pemimpin mereka paling kuat menentang pembatalan moratorium. Tetapi sekarang mereka berkuasa, mereka batalkan. Saya rasa dikhianati, ditipu,” katanya kepada The Malaysia Insight.

Beliau turut menggesa kerajaan mempertimbangkan pembatalan moratorium dan tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu. – 5 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen