Peniaga terjejas selepas pekerja China gagal kembali kerana masalah visa


Andrew Chin

Keadaan pasar malam di luar MCKIP di Gebeng, Kuantan lengang berikutan pekerja China yang tidak dapat kembali berikutan masalah visa. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Mac, 2019

PERNIAGAAN pasar malam di luar Taman Perindustrian Malaysia-China (MCKIP) terjejas selepas ramai pekerja warga China kembali ke negara asal mereka untuk sambutan Tahun Baharu Cina namun tidak dapat kembali ke Malaysia berikutan masalah visa.

Tinjauan The Malaysian Insight ke kawasan berkenaan, menunjukkan tapak perniagaan yang sebelum ini penuh dengan gerai jualan yang menjual makanan dan barangan import dari China, kini lengang dan jumlah gerai juga berkurangan daripada 50 pada Julai lalu kepada hanya 30 gerai sahaja.

Kebanyakan peniaga di pasar malam berkenaan adalah peniaga tempatan namun pekerja warga China dari kilang di MCKIP merupakan pelanggan utama mereka.

Salah seorang peniaga dikenali sebagai Chu yang ditemui di pasar malam berkenaan berkata, pekerja ini bekerja di kilang besi di MCKIP. Segelintir daripada mereka kembali ke China secara berperingkat pada Januari dan Februari untuk sambutan Tahun Baharu Cina, namun tidak dapat kembali berikutan masalah visa.

Punca masalah visa itu bagaimanapun tidak diketahui.

MCKIP merupakan terletaknya Alliance Steel (M) Sdn Bhd yang menjadi tumpuan selepas bertindak mendirikan tembok di sekeliling premisnya, yang disifatkan orang tempatan sebagai Tembok Besar Negeri China.

Kilang besi itu merupakan anak syarikat Guangxi Beibu Gulf Iron and Steel Co Ltd dari China. Syarikat berkenaan telah melaburkan sebanyak RM4.2 bilion untk membina loji integrasi moden di atas tanah seluas 287.32 hektar dalam taman perindustrian berkenaan.

“Perniagaan terjejas sehingga 40% sejak dua bulan lalu. Ini adalah sumber pendapatan utama saya dan kini hidup sangat sukar,” kata Chu yang menjual barangan import dari China. 

Wan Rong Cheng yang bekerja di kilang besi itu berkata kebayakan pekerja ini tidak dapat visa untuk kembali.

Beliau mengakui kerajaan Malaysia tidak begitu mengalukan-alukan pekerja China ini. Menurutnya, beliau sanggup kembali bekerja di Malaysia sekiranya khidmatnya diperlukan. Wan kini berada di China.

Pasar malam di luar MCKIP di Gebeng, Kuantan sebelum ini meriah dan dipenuhi peniaga serta pekerja warga China yang menjadi pelanngan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2019

“Saya tidak berdepan masalah itu, tetapi ramai pekerja lain yang ada masalah visa.”

Feng Zhen Bang, 34, yang menjual barangan makanan Cina kering, snek dan minuman keras di pasar malam berkenaan berkata perniagaan semakin merosot.

“Tengok, ramai peniaga sudah tiada, hanya yang lama sahaja masih bertahan. Kebanyakan yang lain sudah putus asa kerana perniagaan merosot.”

Ditanya mengapa beliau masih bertahan di tapak itu, katanya beliau sudah lama berniaga di situ.

Ditubuhkan pada 2013, MCKIP merupakan jalinan perniagaan penting antara Malaysia dan China.

Ia menempatkan syarikat tenaga yang boleh diperbaharui, pembangunan teknologi kecekapan tenaga, perkilangan peralatan maju dan moden.

Ia juga merupakan Taman Perindustrian Malaysia pertama yang dibangunkan bersama antara kerajaan Malaysia dan China.

Taman itu terbahagi kepada tiga fasa. Buta masa ini, hanya fasa pertama yang sudah siap, yang mana pembinaan bagi fasa kedua dan ketiga, masing-masing berkeluasan 404.68 hektar dan 323.74 hektar masih belum dimulakan.

MCKIP dan satu lagi taman perndustrian, Taman Perindustrian China Malaysia Qinzhou (CMQIP) merupakan inisiatif Bilateral Investment Corporation.

Dikenali sebagai Zon Ekonomi Khas Pantai Timur, MCKIP menjadi penerima pelaburan besar dan dijangka mewujudkan lebih daripada 12,000 peluang pekerjaan baru menjelang 2020. – 4 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen