Misteri Dilaila dan pesan Alfred Hitchcock


Haris Hauzah

DALAM dialognya yang terkenal dengan ikon filem Perancis, Francois Truffaut pada 1962, pengarah filem Inggeris Alfred Hitchcock berkata: “Ada perbezaan yang sangat ketara antara ‘ketegangan’ (suspense) dan ‘kejutan’ (surprise), akan tetapi banyak filem yang masih terus bingung antara keduanya.”

Kekuatan sesebuah filem banyak bergantung pada komposisi garapan visualnya. Ia perihal tentang kemampuan seseorang pengarah filem bercerita secara visual. Kaedah dan pendekatan penyampaian bercerita melalui visual tentu saja memerlukan kepintaran fikiran serta keupayaan rasa yang luar biasa.

Kefasihan dan kelancaran sesebuah karya filem menggarap naratif nahu serta bahasa filem dengan baik menjadikan visual pada filem itu melekat lama di kepala penontonnya. Adegan di kamar mandi dalam filem Psycho arahan Hitchcock ketika Marion Crane ditikam Norman Bates, seorang lelaki kecelaruan mental, adalah satu contohnya.

Heboh tentang filem Misteri Dilaila dalam kalangan peminat filem Malaysia sekarang barangkali kerana genrenya sebagai sebuah filem psiko thriller seram dan barangkali juga kerana gimik konsep misteri sebuah filem dengan dua versi penamat yang berbeza.

Misteri Dilaila memiliki potensi apabila filem ini mempunyai beberapa kualiti yang jelas pada tema, cerita serta pengakhiran yang fokus, mudah dan menarik. Namun kelemahannya agak ketara apabila gagal memberi perhatian pada perkara kecil atau “attention to details” yang diabaikan sejak dari babak pertama, sewaktu Jef dan Dilaila bersama dalam kereta.

Filem ini tidak berjaya memperincikan beberapa butiran kecil yang penting pada watak dan perwatakan karektor utamanya. Akibatnya, ia tidak berdaya menonjolkan motivasi watak serta menggunakannya sebagai sebab dan akibat cerita.

Sebagai sebuah filem genre psiko thriller seram, Misteri Dilaila seharusnya membawa naratif thriller yang menekankan keadaan psikologi watak utamanya.

Masalah terbesar Misteri Dilaila adalah kegagalannya membangunkan keadaan psikologi serta mental Jef, malah tidak memanipulasikan watak itu pada keadaan yang tertentu.

Kemunculan hantu dan lembaga yang bergentayangan di vila milik Jef di atas Bukit Fraser hanyalah tempelan tanpa alasan yang kuat. Arak dan dadah bukanlah nas kuat bagi memunculkan segala hantu jembalang muncul dengan mudah.

Penyampaian unsur drama dan misteri yang menarik dengan bantuan bunyi dan setting dimusnahkan oleh elemen seram dan unsur halusinasi akibat paranoia yang dimasukkan dalam filem ini. Malah ia hanyalah satu modal bagi memastikan beberapa siri teknik “jump scare” yang direka bentuk mendatangkan kesan.

Misteri Dilaila dilemahkan oleh pengabaian aspek psikologi diri Jef pada turun naik penceritaan. Ia tanpa sedar telah meruntuhkan keyakinan keseluruhan filem ini sebagai sebuah filem psiko thriller seram yang masuk akal dan meyakinkan.

Filem ini terlalu kuat diikat dan sangat banyak bergantung pada elemen “plot twist” sehingga naratifnya terlalu didesak dengan sekian banyak sesah tentang betapa gilanya Jef mahu membuktikan kebenarannya menentang dusta seorang perempuan yang mengaku Dilaila. Malah secara teorinya juga kabur — tentang mengapa sekumpulan polis boleh melakukan jenis penyiasatan yang sedemikian rupa tanpa kaedah penjelasan yang benar-benar boleh diterima.

Inilah yang menyebabkan asas penceritaannya tempang dan roboh kerana mengabaikan kepentingan perincian pada karakter watak utamanya.

Kekuatan penceritaan dalam mengisahkan hal misteri dalam filem ini adalah apabila ia berjaya memperdayakan penonton dengan menggerakkan naratifnya melalui “obligatory scene”. Iaitu babak-babak sampingan yang dihadirkan bersama dengan watak-watak sampingan bagi menjadikan kisah misteri filem ini benar-benar jadi misteri.

“Obligatory scene” yang membesarkan watak-watak sampingan jelas sekali dipergunakan sebagai alat pemesongan yang bertujuan untuk mengalihkan fokus dan perhatian penontonan.

Misteri Dilaila yang cuba membawa pesona sebuah psiko thriller seram pada pembukaan ternyata tidak cukup memberikan sokongan pada penceritaannya kerana watak dan perwatakan Jef ditanggapi yang jauh berbeza berbanding karakter filem bergenre serupa.

Adalah sesuatu yang aneh apabila sebuah filem psiko thriller tidak berminat untuk mendalamkan latar pemahaman penonton pada watak utama. Sebaliknya memilih untuk memusatkan seluruh penceritaannya pada “jump scare” jelmaan setan yang muncul sebagai helah murahan kerana ia suatu pendekatan mudah yang selamat.

Adalah suatu dosa apabila mengaitkan filem ini dengan pemikiran Hitchcock atau beberapa filem yang pernah pengarah besar itu hasilkan.

Sinematografi filem ini langsung tidak membuat kita rasa senang dan tenang untuk mengenang karya-karya Hitchcock.

Shot dan “scene treatment” dalam Misteri Dilaila terlalu biasa, tidak ada cita rasa serta tidak menyumbang apa-apa pada mood penceritaan sebuah filem psiko thriller. Malah peralihan adegan dalam filem ini juga sangat bersifat eksperimental yang mana pada akhirnya merosakkan mood cerita.

Adalah sesuatu yang amat disayangkan apabila persembahan sinematografi filem ini hanya berfungsi sebagai kamera semata-mata.

Kerja kameranya gagal menangkap momen dan memberikan rasa dalam menyampaikan cerita dengan kedalaman perasaan dan jiwa. Ia jelas tidak dapat memanfaatkan kerja hebat jabatan seni produksi filem ini seperti yang dapat dilihat pada set produksi, busana malah skema warna yang banyak menyumbang pada visualnya.

Selain mutu suntingan yang memikat dan runut bunyi lagu Rasa Sayang yang membangkitkan rasa pesona sebuah thriller, Misteri Dilaila hanyalah sebuah lagi produk dari Skop Production yang sering mengutip kutipan box office tayangan.

Tidak ada apa yang menarik tentang kualiti lakonan mana-mana wataknya kecuali Imam Aziz yang berjaya memancing rasa syak wasangka penonton melalui lakonannya yang selamba.

Kesimpulannya, Misteri Dilaila adalah sebuah filem bernilai RM2.2 juta yang banyak membunuh sendiri potensinya sebagai sebuah filem psiko thriller seram yang benar-benar menjadi dan berjaya.

Misteri Dilaila adalah suatu cubaan yang wajar disokong dengan sepotong kata pujangga Hitchcock, seorang dewa filem “suspens”: “Jika filem itu bagus, bunyinya boleh dimatikan dan penonton masih ada idea yang jelas mengenai apa yang berlaku.”

Sayangnya, Misteri Dilaila akan diingat kerana dua versi pengakhirannya, tetapi bukan sebagai sebuah filem psiko thriller seram berjaya. – 3 Mac, 2019.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen